LAWAS: Kesungguhan peserta dalam program pertanian, ternakan dan perikanan amat penting bagi menjayakan berbagai program Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan sektor berkenaan.
Pada masa yang sama, penggunaan teknologi moden dan canggih juga penting dalam meningkatkan hasil yang diusahakan tanpa bergantung sepenuhnya dengan kudrat tulang empat kerat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan turut menyeru agar golongan sasar ini turut berusaha menguasai bahasa Inggeris dan bahasa lain seperti bahasa Mandarin dan Arab yang kini menjadi bahasa perdangangan antarabangsa.
Awang Tengah menyatakan demikian pada majlis perasmian Agriculture Community Outreach Programme(AgriCop) di Dewan Kampung Tanjong Katong Sundar semalam.
Seterusnya sektor pertanian juga terus berkembang penting dan kerajaan Sarawak amat menyedari perkara ini dan berusaha menjadi pengeluar utama makanan negara selain meningkatkan eksport ke pasaran antarabangsa.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Dua, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak menegaskan kerajaan Sarawak telah mengadakan berbagai kursus dan bengkel untuk membekalkan kemahiran serta pengetahuan peserta sektor pertanian.
Malahan Kerajaan Sarawak juga menyediakan berbagai kemudahan pinjaman untuk modal peserta sektor berkaitan pertanian, ternakan dan perikanan.
Kemudahan jalanraya juga ditingkatkan untuk kemudahan akses golongan ini memasarkan produk mereka selain pembinaan Anjung Usahawan yang menjadi landasan kepada pasaran lebih meluas.
“Perkara paling utama ialah kesungguhan kita mengusahakan bidang ini yang telah berkembang menjadi satu perniagaan yang menguntungkan.
Kerajaan telah menyediakan berbagai kemudahan dan insentif, namun jika kita tidak ada kesungguhan maka ianya akan sia-sia,” tambahnya.
Penggunaan teknologi komunikasi juga semakin penting untuk memasarkan produk pertanian dan yang berkaitan dengannya.
Hadir sama ialah ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Japaruddin bin Ali, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan ketua-ketua masyarakat lainnya.
Terdahulu Japaruddin memberitahu seramai 150 peserta mengikuti program ini daripada 12 kampung di Sundar.
Kursus ini juga memberi pendedahan teknologi dan menunjukkan model terbaik daripada Jabatan Pertanian.
Pada tahun ini juga sejumlah RM8.2 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan sektor pertanian di daerah Lawas.
Manakala daripada jumlah berkenaan, peruntukan sebanyak RM4.1 juta untuk daerah Sundar sahaja.
Fokus adalah untuk tanaman yang mendapat permintaan tinggi seperti durian, pisang, nenas dan lainnya.
Oleh Adeng Edrus