
MARUDI: Chua Siew Fong muncul juara Pertandingan Kostum Dinasti Cina selepas menewaskan lapan peserta lain dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan Suarah Marudi, semalam.
Beliau mengenakan busana Dinasti Ming dengan memperagakan watak ‘Permaisuri Dinasti Ming dalam Busana Perkahwinan Diraja’.
Naib juara disandang Lina Wong yang memperagakan busana Dinasti Qing dengan watak ‘Permaisuri Imperial’.
Tempat ketiga pula dimenangi Wong Nga Eng yang mengenakan busana Dinasti Tang dengan watak ‘Maharani Wu Zhou’.
Turut diadakan ialah Pertandingan Kostum Mesra Alam berunsurkan tradisional Cina yang disertai 11 peserta.
Majlis perasmian pertandingan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil.

Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pemindahan Cina, Marudi.
Dalam ucapannya, Penguang merakamkan penghargaan kepada Kapitan Kampung Pemindahan Cina, Kapitan Wong Chung Ming, atas kejayaan menganjurkan pertandingan berkenaan.
“Inilah satu daripada warisan budaya yang perlu kita kekalkan di daerah ini bagi mengingatkan kita, khususnya generasi muda, tentang asal usul dan warisan nenek moyang,” katanya.
Beliau berkata, pertandingan seumpama itu wajar diperluaskan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Cina, malah turut melibatkan etnik lain supaya masing-masing dapat memperagakan pakaian tradisional warisan nenek moyang mereka.
Menurutnya, usaha itu penting agar generasi muda dapat mengenali dan menghargai warisan budaya yang mungkin tidak pernah mereka saksikan sebelum ini.
Semua pemenang menerima hadiah wang tunai dan trofi.
Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Marudi Reagan Edwin, Ketua Polis Daerah Marudi DSP Noraizan Mohd Jamil, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai, isteri Datuk Dr Penguang Datin Monica Ukong Jaya, Pemanca Wong Kiong Ching, Pemanca Randi Bundan serta ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum.
Turut berucap pada majlis tersebut ialah Pengerusi JKKK Kampung Pemindahan Cina merangkap Pengelola Program, Kapitan Wong Chung Ming.
Oleh Jiku Juguong