ASTANA: Pesawat Embraer 190 yang sepatutnya terbang ke barat laut dari ibu kota Azerbaijan, Baku ke bandar Grozny di Chechnya di selatan Rusia, tetapi sebaliknya terbang merentasi Laut Caspian dan terhempas berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan.
Haluan pesawat di laman web Flight Radar menunjukkan ia terbang jauh dari laluan biasa, menyeberangi Laut Caspian dan kemudian mengelilingi kawasan di mana ia akhirnya terhempas berhampiran Aktau, yang juga hab minyak dan gas di pantai timur laut.
“Keadaan tidak begitu baik, 38 maut,” agensi berita Rusia, Interfax memetik Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Kanat Bozumbayev.
Kementerian berkata, situasi kecemasan Kazakhstan melaporkan bahawa 29 mangsa yang terselamat termasuk tiga kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital.
Azerbaijan Airlines melaporkan bahawa 67 orang berada di dalam pesawat iaitu 62 penumpang dan lima anak kapal.
Kementerian Pengangkutan Kazakhstan berkata, pesawat itu membawa 37 warganegara dari Azerbaijan, enam dari Kazakhstan, tiga dari Kyrgyzstan dan 16 dari Rusia.
“Sebuah pesawat yang melalui laluan Baku-Grozny terhempas berhampiran bandar Aktau. Ia milik Azerbaijan Airlines,” kata kementerian pengangkutan Kazakhstan di Telegram.
Azerbaijan Airlines, syarikat penerbangan negara itu, berkata pesawat itu “melakukan pendaratan cemas” sekitar tiga kilometer dari Aktau.
Kakitangan lapangan terbang memadamkan kebakaran yang berlaku apabila pesawat itu terhempas.
Ia berkata, 150 pekerja kecemasan berada di tempat kejadian.
Kazakhstan berkata, ia membuka siasatan mengenai punca nahas itu yang tidak dapat dipastikan dengan segera.
Azerbaijan Airlines pada mulanya berkata, pesawat itu terbang melintasi sekumpulan burung sebelum menarik balik kenyataan itu.
“Kami tidak boleh mendedahkan sebarang hasil siasatan pada masa ini,” kata pejabat pendakwa raya Azerbaijan dalam satu kenyataan.
“Semua kemungkinan senario sedang diperiksa, dan analisis pakar yang diperlukan sedang dijalankan,” tambahnya.
Pendakwa raya Kazakhstan yang bertanggungjawab dalam kes pengangkutan, Timur Suleymanov berkata, perakam data penerbangan pesawat itu telah ditemui, lapor agensi berita Interfax. – AFP