Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Pesawat tentera Turkiye dengan 20 penumpang terhempas di Georgia
  • GLOBAL

Pesawat tentera Turkiye dengan 20 penumpang terhempas di Georgia

Utusan Sarawak 17 hours ago

Gambar fail menunjukkan pesawat kargo tentera C-130.- AFP

ISTANBUL: Sebuah pesawat kargo tentera Turkiye yang membawa 20 penumpang dan kru terhempas di Georgia ketika dalam perjalanan pulang dari Azerbaijan, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Turki.

“Pesawat kargo tentera kami jenis C-130 yang berlepas dari Azerbaijan untuk pulang ke tanah air telah terhempas di sempadan Georgia-Azerbaijan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, mengesahkan terdapat “20 anggota di dalam pesawat termasuk kru penerbangan”.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, tambah kenyataan itu.

Rakaman dramatik yang tersebar di media Azerbaijan menunjukkan pesawat itu berpusing secara mendatar sebelum jatuh ke tanah, diikuti kepulan asap hitam tebal selepas nahas. 

Rakaman dari lokasi kejadian pula menunjukkan bangkai pesawat yang hangus sedang terbakar dengan beberapa orang awam berdiri berhampiran.

Kementerian Pertahanan Turkiye meminta pihak media supaya tidak menyiarkan gambar-gambar nahas tersebut.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Turkiye sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Georgia “bagi mengesan bangkai pesawat itu”, sambil menyampaikan rasa sedihnya “atas pemergian para syuhada”, menurut agensi berita rasmi Anadolu.

Dalam hantaran di platform X, Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev turut menyampaikan ucapan takziah kepada pemimpin Turkiye itu.

Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, juga menghubungi rakan sejawatnya dari Georgia, Maka Bochorishvili, bagi membincangkan operasi mencari dan menyelamat, menurut kenyataan kementerian itu.

Kementerian Dalam Negeri Georgia mengesahkan pesawat itu terhempas di kawasan Sighnaghi, kira-kira lima kilometer dari sempadan negara itu dengan Azerbaijan.

Perkhidmatan kawalan trafik udara Georgia, Sakaeronavigatsia, memaklumkan pesawat itu hilang dari radar sejurus memasuki ruang udara Georgia dan pihaknya dimaklumkan tentang nahas itu oleh pasukan kecemasan.

“Pesawat C-130 milik Turkiye hilang daripada radar Sakaeronavigatsia beberapa minit selepas memasuki ruang udara Georgia tanpa menghantar sebarang isyarat kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa operasi mencari dan menyelamat telah dimulakan.

Lapangan terbang di Ganja, Azerbaijan — tempat pesawat itu berlepas — serta pihak berkuasa Turkiye telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Pesawat kargo tentera C-130 Hercules itu adalah buatan syarikat Lockheed Martin dari Amerika Syarikat. — AFP

Continue Reading

Previous: Berlian Mellon Blue terjual pada harga AS$25.6 juta
Next: 3 maut, 56 selamat dalam insiden bot terbalik di selatan Greece

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.