JAKARTA: Pesawat komersial Sriwijaya Air yang terputus hubungan selepas berlepas dari ibu kota Jakarta menuju ke Pontianak, disahkan terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta, semalam.
Menteri Perhubungan Indonesia, Budi Karya Sumadi dalam siaran media menerusi webinar berkata, pesawat itu dipercayai terhempas di sekitar Pulau Laki dan Pulau Lancang, di kawasan perairan Kepulauan Seribu.
“Presiden (Presiden Indonesia Joko Widodo) memberikan arahan kepada kami untuk memaksimumkan upaya pencarian,” kata Budi Karya.
Beliau berkata pelbagai agensi mencari dan menyelamat seperti Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) dan Tentera Indonesia, sedang melakukan pencarian di perairan itu.
Sementara itu Deputi Operasi dan Kesiapsiagaan BASARNAS, Bambang Suryo Aji berkata tumpuan pencarian kini adalah bagi mengesan titik koordinat jatuhnya pesawat itu.
“Diharapkan malam ini (semalam) kita dapat mengesan titik lokasi pesawat itu jatuh terlebih dahulu dan usaha pencarian seterusnya akan disambung esok pagi ,” kata Bambang Suryo Aji.
Pesawat jenis Boeing 737-500 yang membawa 62 penumpang dan anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta,jam 2.36 petang waktu Indonesia Barat.
Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan udara adalah pada jam 2.40 petang waktu Indonesia Timur.
Pesawat itu dijadualkan tiba di Pontianak, jam 3.15 jam waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat).
Pada masa sama, pihak berkuasa Indonesia telah meningkatkan operasi mencari pesawat Sriwijaya Air yang disahkan terhempas di perairan Kepulauan Seribu semalam.
Kementerian Perhubungan, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), polis Indonesia (Polri), Tentera Indonesia (TNI) dan agensi lain berkaitan dalam kenyataan bersama memaklumkan operasi pencarian bermula 6.00 pagi semalam adalah bagi mencari bangkai pesawat di perairan berkenaan.
“Data jumlah personel yang terlibat dalam operasi setakat pagi ini sebanyak 326 personel, jumlah kapal 38 unit, dua helikopter dan dua pesawat udara, masing-masing dari BASARNAS, TNI, Polri, Kementerian Perhubungan, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) dan lain-lain.
“Kapal-kapal tersebut dilengkapi dengan peralatan seperti Multibeam Echosounder dan Remotely Operated Vehicle (ROV) untuk mengesan dan mencari bangkai pesawat, selain pasukan penyelam,” menurut kenyataan itu.
Pesawat jenis Boeing 737-500 yang membawa 62 penumpang dan anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Jakarta menuju ke Pontianak pada 2.36 petang waktu Indonesia Barat, sebelum disahkan terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta.
Sementara itu, tiada rakyat Malaysia di dalam pesawat Sriwijaya Air, yang dilaporkan terhempas di perairan Kepulauan Seribu di Indonesia.
Menurut kenyataan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, pihak kedutaan telah dimaklumkan tiada warga negara Malaysia terbabit dalam nahas berkenaan.
Pesawat jenis Boeing 737-500 yang membawa 62 penumpang termasuk anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta menuju Pontianak, pukul 2.36 petang waktu Indonesia Barat.
Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan adalah pada jam 2.40 petang waktu Indonesia Timur.-Bernama