
JAKARTA: Sebuah pesawat Saudia Airlines yang dilaporkan membawa ratusan jemaah haji melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Sumatera Utara pada Selasa susulan ancaman bom, menurut media tempatan.
Pesawat dari Jeddah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta dilencongkan ke Deli Serdang selepas juruterbang menerima maklumat mengenai kemungkinan bahan letupan di dalam pesawat.
“Pesawat itu melakukan pendaratan cemas disebabkan ancaman bom yang diterima oleh juruterbang. Beliau mengambil keputusan untuk mendarat segera,” kata jurucakap Polis Sumatera Utara Pesuruhjaya Ferry Walintukan dipetik Kompas.com.
Jumlah penumpang pesawat Saudia SV-5726 yang melakukan pendaratan sekitar pukul 10.44 pagi waktu tempatan belum disahkan, namun pihak berkuasa memaklumkan semua penumpang dipindahkan dengan selamat.
Pasukan pemusnah bom polis telah dikerahkan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas pesawat.
Pengendali lapangan terbang Indonesia, PT Angkasa Pura Indonesia (InJourney Airports) telah menjalankan prosedur kecemasan dalam menangani ancaman keselamatan susulan insiden itu.
Pemangku Setiausaha Korporat Kumpulannya, Anak Agung Ngurah Pranajaya berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu merupakan yang terdekat ketika pesawat di ruang udara Indonesia.
“Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua penumpang serta pengguna perkhidmatan lapangan terbang setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan.– Bernama