
HYDERABAD: Pakistan melancarkan operasi pencarian besar-besaran selepas sebuah pesawat kargo Boeing 737 yang membawa lima anak kapal dilaporkan hilang di perairan Karachi pada malam Selasa.
Pesawat milik K2 Airways yang berpangkalan di Karachi itu terputus hubungan dengan pengawal trafik udara pada kedudukan 155 batu nautika (287 kilometer) di barat bandar pelabuhan berkenaan, menurut Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Pakistan (PAA) dalam hantaran di media sosial.
Pesawat itu dalam penerbangan dari Sharjah di Emiriah Arab Bersatu ke Karachi.
Pada 9.18 malam waktu tempatan, juruterbang melaporkan masalah sistem navigasi dan pengawal trafik udara Karachi segera membantu memberi panduan kepada pesawat berkenaan.
Bagaimanapun, tiga minit kemudian, pesawat itu dikesan menjunam dengan pantas sebelum hilang sepenuhnya daripada radar di Laut Arab.
PAA berkata operasi mencari dan menyelamat di laut kemudian dilancarkan menerusi pelbagai agensi bagi mengesan pesawat yang hilang itu.
Saluran televisyen Pakistan melaporkan frigat Tentera Laut Pakistan, PNS Zulfiqar serta pesawat Saab milik Tentera Udara turut menyertai operasi pencarian bersama aset maritim dan udara lain.
Kapal dagang Lahore milik Pakistan National Shipping Corporation turut digerakkan bagi membantu operasi. – Bernama