
NEWBURGH, Amerika Syarikat: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, telah tiba semalam di sebuah pangkalan tentera di Amerika Syarikat(AS) sebelum dipindahkan ke Bandaraya New York, susulan penangkapannya oleh pasukan keselamatan AS di Caracas.
Ejen FBI mengiringi Maduro semasa beliau turun dari pesawat kerajaan AS dan membawanya sepanjang landasan di fasiliti Pengawal Nasional di negeri New York.
Selepas itu, beliau diterbangkan dengan helikopter ke Manhattan, di mana pasukan penguatkuasa undang-undang menunggu.

Menurut laporan media, pemimpin berusia 63 tahun itu akan dibawa terlebih dahulu ke pejabat Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS (DEA) sebelum ditempatkan di Metropolitan Detention Center, sebuah penjara persekutuan di Brooklyn.
Penjara ini juga pernah menempatkan penyanyi rap Sean ‘Diddy’ Combs sepanjang perbicaraannya tahun lalu.
Maduro dan isterinya dijadualkan didakwa di hadapan hakim di New York pada tarikh yang akan diumumkan kemudian. Mereka menghadapi pertuduhan termasuk terorisme dadah, pengimportan kokain dalam jumlah besar ke Amerika Syarikat, serta pemilikan senjata haram.
-AFP