KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakar sejarah apabila buat kali pertamanya melaksanakan latihan pengisian minyak di udara melibatkan pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM buatan Rusia milik TUDM dengan pesawat pengisi minyak KC-135 Stratotanker Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF).
Latihan itu dijayakan sempena latihan bilateral Subject Matter Expert Exchange(SMEE) antara TUDM, United States Pacific Air Forces (US PACAF) dan Washington Air National Guard (WAANG) pada 12 dan 13 Nov lepas.
TUDM menerusi hantaran di Facebook memaklumkan latihan tersebut merupakan satu daripada aktiviti yang dirancang hasil daripada Bilateral Airman-to-Airman Talksantara Malaysia dan Amerika Syarikat.
“Latihan pengisian minyak udara ke udara (AAR ) adalah teknik pemindahan bahan bakar itu dari satu pesawat yang dikenali sebagai tanker ke pesawat lain semasa kedua-duanya berada di udara.
“Teknik ini membolehkan pesawat penerima untuk kekal terbang lebih lama dan membawa muatan yang lebih berat semasa berlepas. Ia melibatkan pesawat KC-135 Stratotanker dari USAF serta pesawat Su-30MKM dan F/A-18D Hornet milik TUDM,” menurut kenyataan itu.
Menurut TUDM pelaksanaan latihan AAR itu membawa pelbagai manfaat strategik antaranya memanjangkan jarak operasi pesawat, meningkatkan kesiapsiagaan serta memperkuatkan keupayaan untuk menjalankan misi jarak jauh tanpa keperluan mendarat untuk mengisi bahan bakar.
Selain itu, ia juga dapat memperkukuhkan koordinasi antara pesawat tanker dan pesawat penerima bahan bakar serta meningkatkan kerjasama tentera udara kedua-dua negara dalam menjalankan operasi gabungan.
“Secara keseluruhan, latihan bilateral yang dilaksanakan ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan pertahanan antara Malaysia dan Amerika Syarikat tetapi juga meningkatkan kemampuan TUDM dalam menjalankan operasi bersama rakan antarabangsa.
“TUDM akan terus komited dalam meningkatkan pertingkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan angkatan udara Malaysia, sejajar dengan perkembangan pesat dalam teknologi pertahanan dan kerjasama antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Kedutaan Amerika Syarikat ke Malaysia menerusi hantaran di Facebook juga memaklumkan latihan AAR itu telah dilaksanakan buat kali pertama di antara pesawat TUDM dan USAF. — BERNAMA