
Keadaan ekor pesawat Air India yang berada di atas bumbung asrama kolej perubatan berhampiran lapangan terbang di Ahmedabad. Foto Central Industrial Security Force (CISF)/ AFP.
AHMEDABAD, India: Sekurang-kurangnya 30 maut apabila pesawat Air India yang membawa 242 penumpang dalam perjalanan ke London terhempas beberapa minit berlepas dari lapangan terbang di Ahmedabad, India, hari ini.
Pihak berkuasa berkata angka korban dijangka meningkat.
Pesawat itu dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Gatwick, di selatan ibu kota Britain, menurut kenyataan Air India.
Polis berkata, pesawat itu terhempas di kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang.
“Bangunan yang menjadi lokasi nahas adalah asrama doktor… kami sudah membersihkan kawasan itu antara 70 hingga 80 peratus, dan dipercayai selesai tidak lama lagi,” kata seorang pegawai kanan polis kepada wartawan.
Saluran berita CNN News-18 India melaporkan pesawat itu terhempas di atas ruang makan asrama Kolej Perubatan B.J. milik kerajaan, menyebabkan ramai pelajar perubatan turut terkorban.
Visual dari lokasi menunjukkan sebahagian pesawat tersangkut di atas bangunan itu.
Pasukan penyelamat memaklumkan sekurang-kurangnya 30 hingga 35 mayat sudah ditemui, dan masih ramai lagi mangsa yang terperangkap.
Menurut satu sumber kepada Reuters, penumpang terdiri daripada 217 dewasa, 11 kanak-kanak, dan dua bayi.
Daripada jumlah itu, 169 adalah warga India, 53 (Britain), tujuh (Portugal) dan seorang warga Kanada.
Flightradar24 melaporkan pesawat yang terbabit adalah Boeing 787-8 Dreamliner, iaitu pesawat penumpang paling moden dalam perkhidmatan.
Menurut pangkalan data Aviation Safety Network, ini adalah nahas pertama membabitkan pesawat Dreamliner, yang mula beroperasi secara komersial pada tahun 2011.
Pesawat yang terhempas ini pertama kali diterbangkan pada 2013 dan dihantar kepada Air India pada Januari 2014.
“Buat masa ini, kami sedang mendapatkan maklumat lanjut dan akan berkongsi perkembangan terkini.
“Mangsa yang cedera sedang dibawa ke hospital terdekat,” kata Air India di platform X.
Sementara itu, AFP melaporkan polis memaklumkan tiada mangsa yang dijangka terselamat dalam nahas berkenaan.
Malah, angka korban dijangka meningkat di kawasan nahas.
“Nampaknya tiada yang terselamat dalam nahas ini,” kata Pesuruhjaya Polis Bandar, GS Malik, kepada AFP.
“Dan memandangkan pesawat itu terhempas di kawasan perumahan dan terdapat juga beberapa pejabat, terdapat lebih banyak mangsa yang terbabit.
Beliau bagaimanapun, tidak memberikan butiran lanjut mengenai jumlah mangsa yang terkorban di kawasan darat. – AGENSI