
Tangkap layar menunjukkan bangkai pesawat terhempas di kawasan perumahan di negeri Gujarat. - NDTV
NEW DELHI: Sebuah pesawat komersial milik Air India yang membawa 242 orang terhempas di negeri Gujarat, India sejurus berlepas, lapor laman berita CNN hari ini.
Penerbangan AI171 yang beroperasi dari bandar Ahmedabad menuju ke lapangan terbang Gatwick di London, dilaporkan membawa 242 penumpang dan kru semasa kejadian.
“Buat masa ini, kami sedang mengesahkan butiran nahas dan akan berkongsi maklumat lanjut secepat mungkin,” kata Air India dalam satu kenyataan.
Menteri penerbangan India, Kinjarapu Ram Mohan Naidu berkata, pihak berkuasa berada dalam keadaan waspada tertinggi, manakala pasukan penyelamat telah digerakkan.
Beliau turut meluahkan rasa terkejut dan sedih berhubung nahas itu.
“Saya secara peribadi memantau keadaan dan mengarahkan semua agensi penerbangan dan tindak balas kecemasan untuk mengambil tindakan pantas,” kata Kinjarapu dalam kenyataan di laman X sambil menambah, semua usaha sedang dilakukan bagi memastikan bantuan perubatan dan bantuan lain sampai ke lokasi kejadian.
Menurut pihak berkuasa, pesawat itu terhempas selepas berlepas di luar perimeter lapangan terbang.
Ketua pengarah direktorat penerbangan awam memberitahu agensi berita The Associated Press bahawa nahas berlaku di kawasan perumahan Meghani Nagar, lima minit selepas berlepas.
Polis belum mengesahkan sebarang kematian setakat ini.
Rakaman berhampiran lokasi nahas menunjukkan kepulan asap tebal dan serpihan terbakar.
Laman web pengesanan penerbangan, FlightRadar24 pula menyatakan, pesawat terbabit adalah jenis Boeing 787-8 Dreamliner.
Menurut Rangkaian Keselamatan Penerbangan, pesawat Dreamliner mempunyai rekod keselamatan yang sangat baik dan tanpa kematian sejak memasuki perkhidmatan. – AGENSI