Pesara wanita rugi RM62,000 terpedaya ‘Love Scam’

Facebook
WhatsApp

LIMBANG: Seorang pesara wanita kerugian RM62,000 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket ‘Love Scam’, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, mangsa berumur 60 tahun berkenalan dengan seorang lelaki pada Ogos lalu menerusi aplikasi TikTok dan seterusnya mula berhubung melalui aplikasi WhatsApp sejak September lepas.

Suspek yang mengaku bekerja di sebuah syarikat di sini kemudiannya mula meminta wang daripada mangsa dengan alasan untuk kegunaan rawatan ibunya  dan berjanji akan membayar semula wang tersebut.

“Mangsa yang percaya, telah meminjamkan RM 62,000 kepada suspek melalui sembilan kali transaksi ke dalam lima akaun bank berbeza.

“Namun sehingga laporan polis dibuat, mangsa tidak menerima kembali RM 62,000 yang dipinjamkan kepada lelaki  tersebut.

“Susulan kes itu, satu kertas siasatan telah dibuka untuk laporan polis berhubung laporan yang dibuat oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan individu yang tidak dikenali melalui media sosial.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat berkenaan kes-kes jenayah komersil di Daerah Limbang dengan menghubungi 085-211466 sambungan 252 ataupun berhubung terus dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis (IPD) Limbang  Inspektor Johari  Mudin di talian 019-8280895.

Oleh Adeng Edrus 

Antara Peniruan Kenyataan dan Karya Seni

‘‘Kualiti penulisan seseorang secara tidak langsung akan berhubungan dengan tahap pemahamannya mengenai sikap manusia.’’ – Bong Joon Ho, pengarah filem