KUCHING: Seorang pesara syarikat minyak dan gas kerugian RM449,200 ditipu individu tidak dikenali bernama Diana Abdullah menerusi urusan dalam talian yang mendakwa kononnya daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia 69 tahun memberitahu menerima panggilan daripada suspek pada November lalu memberi amaran bahawa mangsa disenaraihitamkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) angkara fitnah.
“Wanita itu kemudiannya memindahkan talian mangsa kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis, mendakwa dirinya berasal dari Kota Kinabalu dan mangsa diberitahu telah terlibat dalam kes dadah dan pengubahan wang haram.
“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuka akaun bank baharu pada 21 November lalu bagi memudahkan pihak berkuasa memantau transaksi akaunnya dengan memberikan nombor akaun baharunya, nombor pin ATM, akaun perbankan dalam talian dan e-mel.
“Selain itu, mangsa juga diminta memindahkan wang tunai daripada akaun ASBnya berjumlah RM390,000 dan menjual sahamnya sebanyak RM59,263 untuk dimasukkan ke dalam akaun baharunya.
“Pada Mei tahun ini, mangsa mendapati wang tunai berjumlah hanya RM63.77 ditinggalkan dalam akaun simpanannya dan baki wangnya dipindahkan ke dua akaun yang tidak diketahui menerusi transaksi antara 21 November hingga 2 Disember tahun lalu,” jelas Azman.
Rentetan insiden berkenaan, mangsa membuat laporan polis.
Justeru, Azman menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai orang yang tidak dikenali dengan memberikan maklumat perbankan peribadi mereka sewenang-wenangnya kepada individu yang tidak dikenali.
“Berkomunikasilah dengan ahli keluarga dan rakan sebagai rujukan sekiranya berlakunya insiden berhubung isu tersebut.
“Orang ramai digesa menghubungi Pusat Tindak Balas Nasional 997 jika mereka menipu atau semak dengan http://semakmule.rmp.gov.my untuk modus operandi penipuan,” jelasnya.
Oleh Connie Chieng