
MIRI: Seorang pesara swasta berusia 66 tahun kerugian lebih RM2.24 juta selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian atau ‘phone scam’ oleh sindiket yang menyamar sebagai wakil syarikat kewangan dan pihak polis.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) Miri menerima laporan berhubung kejadian itu, 30 September lalu.
Menurutnya, mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat ‘Touch ‘n Go’ dan mendakwa mangsa terlibat dengan sindiket penipuan.
“Mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang suspek yang menyamar sebagai pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
“Suspek meminta mangsa mengeluarkan semua wang simpanan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk diserahkan kepada mereka kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Farhan berkata, mangsa akur dengan arahan berkenaan lalu membuat pindahan wang di kaunter bank, pemindahan dalam talian serta menyerahkan wang tunai kepada seorang lelaki tidak dikenali di lokasi yang sunyi tanpa orang ramai.
“Akibatnya, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM2,244,404 hasil daripada simpanan serta wang pencennya.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Oleh Liong Chai Ling