KUCHING: Seorang pesara sebuah syarikat swasta di Miri mengalami kerugian RM1.2 juta selepas menjadi mangsa sindiket ‘phone scam’.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 66 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku dari Kementerian Kesihatan Malaysia pada 18 April lalu, sebelum talian disambungkan kepada ‘Sarjan Wong’ dan ‘Inspektor Khoo’ dari Kota Kinabalu, Sabah.
“Suspek mengatakan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan tangkapan akan dibuat ke atas mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa menafikan dakwaan tersebut dan memohon tetap berada di Bandaraya Miri semasa siasatan dijalankan kerana mangsa menghidap kanser usus,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Suspek meminta mangsa memberikan maklumat perbankan dan butiran kewangan serta diarah membuka dua akaun bank baharu bagi memudahkan siasatan ke atas mangsa.
“Mangsa kemudian membuka akaun bank itu di dua institusi kewangan tempatan pada 19 dan 20 April lepas, sebelum memberikan maklumat akaun baharu, ID (pengenalan diri) dan kata laluan perbankan atas talian kepada suspek,” katanya.
Dalam pada itu, mangsa juga diarah untuk memindahkan wang keseluruhan RM1.2 juta melalui empat transaksi akaun Ambank dan KWSP ke dua akaun bank baharu itu.
“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah memeriksa baki wang di dalam kedua-dua akaun bank itu pada 8 Jun lalu dan mendapati wang berjumlah RM1.2 juta miliknya telah dipindahkan ke akaun yang tidak dikenali secara berperingkat antara 19 April hingga 3 Mei 2023,” katanya.
Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
Oleh NUR AIN OTSMAN