
SARATOK: Seramai tiga pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk seorang penerima secara anumerta, telah menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dalam satu majlis ringkas tanpa istiadat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, semalam.
Majlis tersebut diadakan bagi menghargai jasa dan pengorbanan para pesara serta bekas anggota polis yang telah berkhidmat mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara sewaktu era darurat.
ASP Noor Ilham Hadeni yang mewakili Ketua Polis Daerah Saratok telah menyempurnakan penyampaian sijil dan pingat kepada para penerima.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dalam satu kenyataan turut merakamkan penghargaan atas sumbangan besar para pesara yang pernah berjuang di barisan hadapan menentang ancaman keselamatan negara pada masa lalu.
Menurutnya, pemberian pingat ini mencerminkan pengiktirafan berterusan kerajaan terhadap jasa anggota keselamatan yang telah menabur bakti dalam memastikan Malaysia kekal aman dan makmur.
Antara penerima ialah Lans Koperal (B) Agok Abak yang mula berkhidmat pada 15 September 1972 dan bersara pada 31 Disember 2000. Turut menerima penghargaan ialah waris kepada mendiang Sarjan (B) Jackson Baling Ejau, iaitu Gie Ejau, yang mewakili arwah yang meninggal dunia pada 2022.

Seorang lagi penerima ialah Lans Koperal (B) Micheal Rangkong yang berkhidmat sejak 1 April 1980 dan bersara pada 19 November 2012.
Kesemua mereka menerima sijil dan pingat PJPN sebagai simbol penghormatan terhadap jasa bakti mereka kepada negara.
Majlis sederhana tetapi penuh bermakna itu melambangkan semangat setiakawan dan penghargaan institusi PDRM terhadap wira-wira negara yang telah menabur jasa tanpa mengira waktu dan cabaran.
Turut hadir Ketua-Ketua Bahagian, Ketua Polis Balai, Pegawai Rendah Polis, pegawai AMANITA serta ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Saratok.
Oleh Adi Safarman