JULAU: “Kali terakhir melihat mangsa berpaut pada baldi pada anggaran jarak 30 meter dari saya. Saya cuba mencari dan menyelamat mangsa, namun gagal.”
Sedemikian menurut saksi yang juga rakan kepada seorang warga emas, Arim Badok, 70, dikhuatiri lemas ketika memasang pukat di tepi Sungai Kanowit, Nanga Meluan pada petang, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor yang juga Komader Operasi, PPgB Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pada 9.01 malam tadi dari Sistem Kesediaan dan Tindakbalas Kecemasan Malaysia (MERS 999).
“Menurut saksi, 71, mengesyaki mangsa lemas pada masa tersebut lebih kurang 6.30 petang.
“Saksi cuba untuk mencari mangsa, tetapi tidak berjaya dan seterusnya membuat panggilan ke balai. Saksi dan mangsa hanya memasang pukat di tepi sungai dengan berjalan kaki.
“Pihak kami (bomba) bergegas ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya ketika dihubungi pemberita, tengah malam tadi.
Operasi SAR disertai tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Julau, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei dan 10 penduduk rumah panjang menggunakan tiga perahu.
Mangsa yang juga pesara guru berseluar pendek hitam dan tidak berbaju ketika kejadian tersebut.
“Lebar sungai anggaran lebih 50 meter dan air berarus agak deras semasa operasi SAR dijalankan.
“Pencarian menggunakan kaedah pencarian di permukaan air ke hilir sungai. Tiada tanda mangsa dijumpai dan operasi SAR ditangguhkan kerana keadaan terlalu gelap dan hujan,” ujarnya.
Setakat berita ditulis, mangsa masih belum ditemui oleh pasukan SAR.
Oleh EARL ANEK