SIBU: Ketika Sarawak melalui fasa awal pembangunan selepas pembentukan Malaysia dan kemudahan di luar terhad, seorang pemuda Melanau berusia 20 tahun sanggup meninggalkan kampung halamannya di Matu untuk berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah kecil di pedalaman Ulu Sungai Sarikei, didorong impian ibunya serta keyakinan bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan.
Perjalanan bermula pada 1965 itu bukan sekadar membawa Nawawi Abdul Hamid ke sebuah sekolah dengan majoriti murid berbangsa Iban, malah mencorakkan hampir empat dekad pengabdiannya sebagai pendidik yang menyaksikan perubahan wajah pendidikan luar bandar seiring dengan pembangunan Sarawak.
Menjelang sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai, Nawawi, 81, mengimbau kembali zaman ketika guru-guru muda terpaksa meredah sungai, berjalan kaki berjam-jam dan berkhidmat dalam serba kekurangan demi memastikan anak-anak di pedalaman mendapat peluang menimba ilmu.

“Sejak kecil lagi ibu sentiasa memberi dorongan supaya saya menjadi guru. Dia pernah berpesan, ‘kamu jangan jadi polis, nanti kena bunuh. Lebih baik jadi guru’. Sejak itu saya tanam cita-cita menjadi guru,” katanya kepada Bernama.
Selepas menamatkan tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah persendirian di Sibu, Nawawi melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk sebagai pekerja am di Sekolah Rendah Kerajaan (kini Sekolah Kebangsaan) Abang Ali sebelum bertugas di jabatan kerajaan.
Peluang mengubah haluan hidup hadir apabila seorang kenalan Aini Dhoby, abang kepada pejuang kemerdekaan Sarawak Rosli Dhoby, memaklumkan terdapat kekosongan jawatan guru di sebuah sekolah rendah di Sarikei dan menawarkan bantuan untuk mendapatkannya.
“Saya terus bersetuju. Tetapi sebelum itu Aini sempat berpesan, ‘kalau sudah dapat jadi guru nanti, kamu jangan macam-macam’. Pesanan itu masih saya ingat sampai hari ini,” katanya sambil tersenyum.

Sekolah pertama beliau ialah Assun School di Sungai Munsuh, Ulu Sarikei, yang hanya mempunyai tiga bilik darjah menempatkan murid tahun satu, tiga dan empat serta sebuah rumah guru.
Ketika itu, hanya kira-kira 30 murid dari rumah panjang berhampiran bersekolah di situ dengan setiap kelas mempunyai sekitar 10 orang murid. Nawawi mengajar Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.
Selepas kira-kira enam bulan berkhidmat, beliau menerima tawaran mengikuti kursus perguruan peringkat sijil di Rajang Teachers College di Bintangor dari 1967 hingga 1968.
Sebaik menamatkan latihan, beliau ditempatkan di sebuah sekolah di Kampung Penipah, Pulau Bruit, Daro pada 1969 sebelum berkhidmat di Sekolah Rendah Kerajaan Orang Kaya Sergunim, Jemoreng, Matu dari 1970 hingga 1974.
Sepanjang hampir empat dekad bergelar pendidik, beliau turut berkhidmat di SK Orang Kaya Selair, Sekaan SK Bukit Kinyau, Tanjung Manis SK Abang Haji Matahir, Sarikei SK Nanga Kelangas dan SK Engkamop di Julau sebelum bersara pada 2004.
Mengimbau cabaran mengajar di luar bandar pada fasa awal, Nawawi berkata perjalanan dari sekolah ke bandar bagi mengambil gaji dan membeli barang keperluan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ketika itu belum banyak jalan raya. Kami terpaksa berjalan kaki dan menaiki bot. Perjalanan sehala mengambil masa antara dua hingga tiga jam.
“Sebulan sekali barulah kami ke bandar untuk mengambil gaji dan membeli barang keperluan. Pernah juga terserempak dengan anggota komunis ketika dalam perjalanan. Syukur mereka tidak mengganggu selagi kita tidak mengancam keselamatan mereka,” katanya.
Beliau berkata walaupun terdapat ancaman keselamatan ketika itu, semangat guru dan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan tidak pernah luntur.
“Mereka sanggup menghantar anak ke sekolah walaupun tinggal jauh di rumah panjang dan kehidupan serba sederhana. Mereka percaya pendidikan boleh mengubah masa depan anak-anak,” katanya.

Menurut Nawawi, perubahan besar mula dirasai apabila kerajaan membina lebih banyak jalan raya ke kawasan luar bandar selain menyediakan kemudahan asrama di sekolah pedalaman.
“Semasa saya mengajar di SK Nanga Kelangas, banyak ibu bapa yang tinggal jauh memohon anak mereka ditempatkan di asrama kerana kerajaan menyediakan kemudahan makan, minum dan pembelajaran.
“Malah ada ibu bapa membina pondok berhampiran sekolah supaya anak-anak tidak tercicir. Mereka hanya pulang ke rumah panjang pada hujung minggu,” katanya.
Beliau berkata pembangunan pesat dinikmati Sarawak hari ini telah mengubah landskap pendidikan luar bandar apabila kebanyakan sekolah kini dihubungkan dengan rangkaian jalan raya dan perjalanan ke bandar menjadi jauh lebih mudah berbanding suatu ketika dahulu yang banyak bergantung kepada laluan sungai.
Bagi Nawawi, kemajuan itu menjadi antara pencapaian paling bermakna sepanjang lebih enam dekad Sarawak membina masa depannya.
Kini pada usia 81 tahun, beliau berkata kepuasan terbesar sepanjang bergelar guru bukanlah pangkat atau ganjaran, sebaliknya melihat bekas anak muridnya berjaya melanjutkan pelajaran dan membina kerjaya dalam pelbagai bidang.
“Apabila bertemu mereka sekarang, ada yang sudah menjadi pegawai kerajaan, guru dan profesional. Itulah kebahagiaan sebenar seorang guru,” katanya. – Bernama




