
PADA penghujung musim buah, suasana di dusun durian yang terletak di dalam gunung itu semakin sunyi dan lengang. Jika dahulu, dusun yang kaya dengan pohon durian dan dikelilingi oleh hutan yang tebal itu sentiasa dipenuhi dengan kegembiraan, kini hanya kesunyian yang terasa.
Setiap sudut dusun yang dulunya penuh dengan semak samun dan akar menjalar kini terlihat lebih teratur. Semuanya telah ditebas dan dicantas dengan teliti, memberi ruang kepada para pencari durian mencari buah yang masak dengan mudah. Namun, keheningan yang menyelubungi dusun itu menyiratkan suatu yang berbeza daripada kebiasaan.
Durian gunung, yang terkenal dengan baunya yang kuat dan rasanya yang manis, lemak, serta lunak isinya, memang menjadi kegemaran penggemar raja buah itu. Pada musim buah yang lalu, bau durian yang menyengat dan memikat itu sentiasa memenuhi udara, dan orang kampung akan berbondong-bondong datang ke dusun untuk mencari durian yang telah masak.
Mereka membawa tambok, guni dan bekalan lain untuk mengumpulkan buah-buah durian yang gugur. Suasana yang riuh dengan suara gelak tawa, percakapan, dan kedengaran bunyi durian yang jatuh dari pokok menjadikan musim itu sangat meriah. Keberadaan mereka membawa semangat hidup yang nyata kepada dusun yang dipenuhi dengan buah-buahan.
Namun kali ini, suasana itu sudah tiada. Tiada lagi suara riuh orang kampung yang mencari durian. Dusun yang penuh dengan semangat itu kini seakan-akan merasai kesepian, seolah-olah tidak ada lagi kehidupan yang menghidupkan tanah dan pepohonannya.
Hanya bunyi angin yang berdesir di celah-celah dahan dan daun yang bergoyang perlahan, seolah-olah memanggil mereka yang telah lama meninggalkan tempat itu.
Di sebalik kesunyian ini, teringatlah Kreman pada pesanan nenek yang selalu berulang kali disebut setiap kali tiba musim durian. “Janganlah kamu masuk ke dusun pada penghujung musim buah, sekarang giliran mereka pula yang akan mencari buah durian.”
Kata-kata itu sering kali membangkitkan perasaan aneh dalam diri. Namun, pesan itu seakan-akan masih bermain dalam ingatan, mengingatkan mereka tentang sesuatu yang lebih besar dari sekadar tuai hasil.
Pesan nenek itu sering kali membuat Kreman berfikir, apakah yang dimaksudkan dengan “mereka”? Adakah roh nenek moyang mereka atau sesuatu yang lain? Kreman sering kali menyangka bahawa nenek hanya bercerita berdasarkan kepercayaan lama, namun suatu malam nanti, dia akan menemui jawapannya.
Kreman, cucu bongsu nenek, yang kini tinggal di rumah milik keluarganya berdekatan dengan laluan ke dusun di gunung itu, masih teringat dengan jelas bagaimana nenek selalu menceritakan kisah-kisah lama tentang pemilik dusun yang telah tiada.
Nenek sering mengatakan bahawa dusun itu bukan milik mereka semata-mata. Ia adalah milik nenek moyang mereka dari generasi ke generasi yang telah lama meninggalkan dunia ini.
Mereka yang sudah tiada, menurut nenek, sentiasa menjaga dusun tersebut dan akan mengambil balik hasilnya pada penghujung musim buah.
“Mereka yang telah pergi, menjaga dusun ini seperti mana kita menjaga mereka semasa mereka masih hidup,” kata nenek sambil matanya jauh menatap hutan.
Pada suatu malam yang sunyi, Kreman duduk di beranda rumah, memerhatikan bulan yang bersinar terang di langit. Ketika itulah dia terasa seakan-akan ada yang memanggil.
Suara lembut yang datang dari arah dusun durian, namun ia bukanlah suara yang biasa didengar. Suara itu seperti bisikan angin yang menyentuh daun-daun, dan di telinganya, seakan ada suara yang meminta perhatian. Kreman teringat akan pesan nenek. Walaupun agak takut, rasa ingin tahu yang kuat menyebabkan dia nekad untuk pergi ke dusun itu, ingin mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.
“Mujur aku sudah mengecas lampu suluh Sofirn yang aku baru beli dari Shopee sebulan yang lepas, bateri pun dah penuh dicas, ada dua biji bateri tambahan lagi, bolehlah aku uji kemampuannya nanti,” Kreman bercakap sendirian.
Kreman meminta izin dari ibunya, namun ibunya sempat berpesan, “bukankah nenek ada pesan dengan kamu sebelum ini, lagipun sekarang dah lewat, dekat pukul 9.30 malam?”
Kreman tetap degil dan dengan nada seloroh, Kreman menjawab ibunya, “tak mengapa ibu, saya kan berani, nanti kalau buah durian masih ada, ibu juga yang untung, stok tempoyak kita pun ada juga nanti.”
Ibunya terdiam, dengan nada yang agak berat, ibunya mengizinkan Kreman ke dusun tersebut.
Dengan langkah perlahan, dia mendaki kawasan hutan berbukit sambil disuluh cahaya lampu suluh Sofirn yang terpasang di kepalanya, parang di tangan sentiasa siap menebas lalang yang menghalang.
Cabaran semakin terasa apabila laluan yang dilalui mula ditumbuhi lalang yang tebal, memaksa Kreman menebasnya satu persatu. Tidak lama kemudian, Kreman akhirnya menjejakkan kaki ke dalam dusun yang gelap, dihiasi oleh dahan-dahan pokok durian yang besar.
Ada pokok durian yang telah berusia lebih seratus tahun lamanya. Bunyi cengkerik yang pada mulanya seperti bernyanyi, tiba-tiba terhenti sepi, tiada lagi orkestra alam yang meriah mengiringi malam, kini seolah-olah berubah. Suara angin yang menyentuh dedaunan kedengaran seperti bisikan halus.
Dalam gelap itu, Kreman merasakan ada sesuatu yang tidak biasa, seperti ada sepasang mata yang memerhatikan setiap gerak gerinya. Namun Kreman tetap tidak mengendahkan perasaannya. “Hanya mainan mata dan fikiran sahaja,” bisik Kreman di dalam hatinya.
Setibanya di sebuah pohon durian yang besar, Kreman terhidu bau durian yang sangat manis, dia terus mencari di sekitar pohon tersebut. Kreman menjerit kegembiraan apabila dia menjumpai lebih sepuluh biji durian yang masih elok dengan tangkai yang masih basah lagi.
Tanpa membuang masa, Kreman segera mengumpul dan menyusun durian-durian ke dalam tambuk rotan yang dibuat oleh nenek. Tanpa sengaja, dia teringatkan pesan nenek membuatkan hatinya berdebar-debar dengan kencang.
Tiba-tiba, dari kejauhan, Kreman melihat sesuatu yang sukar dijelaskan. Sebuah sosok bayangan yang samar-samar bergerak di antara pokok-pokok durian. Kelibatnya terlihat seperti seseorang, tetapi gerak-gerinya agak pelik, saat dia menyimpan buah durian ke dalam tambok, cara itu berbeza dengan kebiasaan.
Tambok yang dipikul di bahu juga kelihatan terbalik, seperti sesuatu yang tidak wajar. Kreman berdiri terpaku, matanya tidak dapat mempercayai apa yang dilihatnya. Sosok itu semakin mendekat, dan dalam sekelip mata, ia menghilang di balik semak-semak.
“Siapa…?” Kreman berbisik perlahan. Namun, tiada jawapan yang datang. Hanya kesunyian yang semakin menekan. Jantungnya terus berdegup kencang, terasa seolah-olah ada sesuatu yang memerhati dan mengikutinya di tengah kegelapan malam itu. Suasana yang tadinya tenang, kini dipenuhi dengan ketegangan yang sukar diungkapkan.
Tiba-tiba, lampu suluh yang dipegangnya padam tanpa amaran. Kreman terkejut dan segera cuba menekan suisnya, namun tidak berhasil. “Bukankah aku sudah mengecas bateri lampu suluh ini siang tadi? Kenapa pula ia boleh padam sekarang, baru berapa jam sahaja aku menggunakannya?” bisik Kreman dalam hati, fikirannya bercelaru berbaur takut.
Syukurlah, sinaran cahaya bulan yang perlahan menembusi celah-celah dahan pokok durian sedikit sebanyak membantu. Dengan tangan yang sedikit gemetar, Kreman berjaya menemui bateri tambahan di dalam poket bajunya dan segera menukarnya.
Akhirnya, dengan tangan yang gemetar dan nafas yang tersengal-sengal, Kreman berjaya menghidupkan lampu suluh itu. Cahaya putih yang memancar keluar seperti sinar harapan, membelah kegelapan malam.
Tanpa membuang masa, dia terus berpaling dan menghalakan lampu suluh ke arah durian-durian yang dikumpul sebentar tadi. Tetapi alangkah terkejutnya dia apabila melihat durian-durian yang tadinya kelihatan elok, kini telah berubah rupa.
Buah-buah durian yang dipilihnya dengan teliti sudah merekah dan rosak, seakan-akan waktu yang baru sebentar berlalu telah merosakkan semuanya.
Kreman tidak dapat menahan rasa takut yang semakin menekan. Tanpa berfikir panjang, dia terus berlari membabi buta meninggalkan tambok yang penuh dengan durian-durian yang disusun sebentar tadi, tidak sedar bahawa dia telah berlari berulang kali di kawasan yang sama.
Kepenatan, akhirnya dia tersandung pada tunggul pokok buluh yang telah mereput, lalu terjatuh di bawah pohon durian yang besar dan rindang. “Adakah ini yang dimaksudkan dengan dikurung atau disesatkan oleh ‘mereka’?” bisik Kreman dalam hati, tubuhnya terbaring lesu di tanah yang sejuk.
Kreman teringat kembali akan kejadian di mana dua orang pemuda yang mencari buah asam di dalam gunung telah disimpan oleh “Nenek Kebayan” selama tujuh hari tujuh malam. Ingatan itu membuatkan Kreman semakin takut.
Dengan keadaan tertiarap, Kreman cuba bangun perlahan. Secara tak sengaja, lampu Sofirn di tangan Kreman menyuluh akar pokok yang menjalar di bawah pohon durian itu. Tiba-tiba, secebis ingatan tentang petua orang tua-tua terlintas di fikirannya.
Katanya, jika sesat di hutan, seseorang yang merokok harus memberikan sebatang rokok kepada “mereka.” Namun, Kreman bukanlah seorang perokok. Jika begitu, petua berikutnya berbunyi, “Sekiranya seseorang itu bukan perokok, hendaklah dibelah akar yang menjalar di tengah-tengah lalu melangkah masuk ke dalam akar itu untuk keluar dari kurungan dan kembali ke alam manusia.”
Tanpa berlengah, Kreman memutuskan untuk mengikuti petua itu. Dengan tekad yang kuat, dia membelah akar yang menjalar di hadapannya. Setelah beberapa saat, dia melangkah masuk ke dalam celah-celah akar yang besar itu.
Suasana yang kelam dan hening seolah berubah menjadi semakin terang. Tanpa membuang masa, Kreman terus berlari menuruni kawasan dusun yang seolah-olah cuba menahannya.
Tidak lama kemudian, jalan di hadapannya seolah-olah terbuka, seperti memberi laluan untuknya keluar.
Rasa lega sebentar menguasai dirinya, tetapi seiring dengan langkahnya yang semakin laju, Kreman mula berasa ada sesuatu yang mengekorinya dari belakang. Perasaan ngeri menyelubungi dirinya, seperti ada mata yang memerhatikannya setiap saat.
Dengan jantung berdegup kencang, Kreman menambah kelajuan, namun dia tidak berani untuk menoleh. Sesuatu yang gelap dan seolah-olah tidak kelihatan mengikuti gerak-gerinya.
Tapi, setiap langkahnya semakin menambah rasa cemas, kerana semakin jauh dia berlari, semakin dekat rasa itu menghampirinya…
Langkahnya terhuyung-hayang, tetapi dia berusaha untuk terus berlari. Dia tidak peduli lagi dengan keadaan jalan yang sukar, tangan dan kakinya yang terluka dengan duri pokok rotan yang mencucuk. Yang penting baginya, dia ingin sampai ke rumah dengan selamat.
Sesampainya di rumah, Kreman terus membuka pintu dan masuk ke dalam rumah dan mengunci dirinya di dalam bilik dengan ketakutan yang masih melingkari dirinya. Nafasnya turun naik, dan jantungnya masih berdegup kencang.
Pada malam itu, Kreman hanya baring terpaku di katilnya. Kakinya terasa lemah, pedih bercampur sakit, tetapi fikirannya terus mengingatkan peristiwa aneh yang baru dilalui. Dia menutup seluruh tubuhnya dengan selimut tebal.
Lampu Panasonic jimat tenaga yang dipasang di tengah-tengah bilik berkelip-kelip secara tiba-tiba, menambah rasa ketegangan dalam ruang yang sepi itu.
“Mungkin inilah yang nenek maksudkan,” bisik Kreman perlahan, suaranya hampir tenggelam dalam kesunyian malam. Kata-kata neneknya yang sering mengingatkan tentang alam ghaib, tentang mereka yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar, kini kembali bermain-main di fikirannya.
Kreman menggigil mengenangkan pesanan nenek, namun dalam ketakutan itu, matanya mulai berat. Letih fisiknya dan ketegangan yang melanda fikirannya akhirnya membawa Kreman terlelap, namun perasaan tidak tenteram tetap membelenggunya.
Esoknya, Kreman terjaga seawal jam 4 pagi, tubuhnya terasa letih dan mentalnya terganggu. Pengalaman malam semalam masih menghantui fikirannya, membangkitkan ketakutan yang tidak dapat dibendung.
Setiap kali dia terlelap, mimpinya selalu dihantui oleh bayang-bayang misteri yang dilihatnya di dusun durian.
Pagi itu, dia terdengar bunyi gas di dapur, yang perlahan-lahan mengalirkan bau masakan. Dengan penuh hati-hati, Kreman melangkah perlahan ke arah dapur, dan di situ dia mendapati ibunya sedang menyiapkan sarapan pagi.
Ibu Kreman sedang sibuk menyediakan bubur nasi beras wangi, yang baru sahaja selesai dituai pada penghujung bulan Mac tahun lepas di huma milik mereka. Beras wangi itu, hasil tangan mereka sendiri, adalah simbol kesungguhan dan kerja keras keluarga itu.
Aroma nasi yang dimasak perlahan-lahan menyebar di dapur, menenangkan suasana pagi yang masih sunyi.
Ibu Kreman dengan penuh ketelitian mengadun bubur itu, memastikan setiap butir nasi yang dimasak sempurna, dipadankan dengan air rebusan yang kaya rasa, menghasilkan bubur yang lembut dan harum.
Pagi itu, suasana terasa penuh kedamaian, berbeza sekali dengan ketegangan yang Kreman rasai semalam.
“Mak,” kata Kreman dengan nada lemah, cuba menceritakan apa yang berlaku semalam. “Tadi malam, saya… saya lihat sesuatu yang aneh di dusun durian. Ada satu bayangan yang… saya tak tahu apa itu. Ia kelihatan seperti orang, tapi… ada yang pelik. Durian yang saya kumpul semuanya rosak dalam sekelip mata. Saya takut, Mak. Tambok yang saya bawa pun saya biarkan sahaja di dusun. Saya rasa seperti ada sesuatu yang mengikut saya.”
Ibunya berhenti sejenak, memandang anaknya dengan senyuman yang penuh pengertian. Tanpa tergesa-gesa, ibunya meletakkan senduk nasi ke dalam pinggan dan berkata perlahan, “Itulah yang nenek maksudkan. Mereka yang telah pergi, mereka juga mempunyai hak ke atas buah-buahan ini.”
Kata-kata ibunya itu membuatkan Kreman terdiam, fikirannya tiba-tiba dihujani dengan pelbagai persoalan. Dia termenung panjang, cuba mencerna makna di sebalik kata-kata ibunya.
Adakah benar roh nenek moyang mereka menjaga dusun itu? Adakah mereka yang telah meninggal dunia mempunyai kaitan dengan kejadian aneh yang berlaku?
Kreman teringat kata-kata nenek yang sering mengingatkan mereka tentang pentingnya menjaga hubungan dengan alam, dan bagaimana setiap tempat yang mereka diami mempunyai “penjaga” yang tidak kelihatan oleh mata kasar.
“Ibu, maksudnya… nenek moyang kita?” Kreman bertanya, sedikit ragu-ragu. “Adakah mereka yang menjaga dusun itu, seperti yang selalu nenek katakan?”
Ibu Kreman tersenyum, dan dengan tenang dia menjawab, “Nenek selalu mengajarkan kita tentang pentingnya menghormati alam dan segala isinya.
Dusun durian itu bukan sekadar tanah biasa. Ia adalah tempat yang hidup, penuh dengan roh-roh yang telah lama wujud.
Nenek selalu berkata, tempat itu dijaga oleh mereka yang telah pergi, yang pernah memelihara dusun itu suatu ketika dahulu. Mereka yang menjaga tanah dan pokok durian itu, memberikan berkat kepada sesiapa yang menghormati mereka.”
Kreman mendengar dengan penuh perhatian, tetapi hati kecilnya masih dipenuhi dengan keraguan. “Tapi, ibu… apakah yang saya lihat malam tadi? Adakah itu roh nenek moyang kita atau sesuatu yang lain?”
Ibu Kreman menghela nafas panjang. “Tidak semua yang kita lihat di dunia ini adalah seperti yang kita fikirkan. Alam ini penuh dengan misteri.
Kadang-kadang, mereka yang telah pergi pasti datang untuk menjaga tempat yang mereka sayangi, atau mungkin mereka ingin menunjukkan sesuatu kepada kita.
Nenek selalu berkata, jika kita menjaga dusun itu dengan baik, mereka akan melindungi kita. Tetapi jika kita tidak menghormatinya, mereka akan menunjukkan ketidaksenangan mereka.”
Kata-kata ibu itu terasa berat bagi Kreman, namun dia tidak dapat menepis rasa takut yang masih menghinggapinya. Dia teringat kembali pengalaman malam tadi, saat bayangan itu muncul, seolah-olah ingin memberitahunya sesuatu yang lebih mendalam.
Apakah yang dimaksudkan oleh nenek dan ibunya tentang hubungan antara manusia dan alam? Adakah dusun itu benar-benar dihuni oleh roh-roh nenek moyang yang menjaga dan melindungi buah-buahan yang tumbuh di sana?
Pagi itu, Kreman duduk termenung seketika, memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang ada. Mungkin, kata-kata nenek dan ibunya ada kebenarannya.
Mungkin, ada lebih banyak yang perlu dia pelajari tentang hubungan manusia dengan alam yang tidak kelihatan, tentang bagaimana menghormati dan menjaga tempat-tempat yang penuh dengan sejarah dan kehidupan.
Dusun durian itu bukan sekadar dusun biasa, ia adalah satu dunia yang memiliki rahsia dan penjaganya yang tidak dapat dilihat oleh mata biasa. Mungkin, masa depan Kreman akan membuka lebih banyak lagi misteri yang akan mengubah pandangannya terhadap dunia ini.
Namun, walau apa pun yang akan datang, satu perkara yang pasti: Kreman tidak akan lagi memandang dusun itu dengan mata yang sama. Kreman mula memahami bahawa apa yang dikatakan nenek bukan sekadar mitos atau cerita rakyat semata-mata.
Ada sesuatu yang lebih mendalam, lebih sakral, dalam cara mereka menghormati roh nenek moyang dan makhluk halus yang menghuni alam ini.
Dusun durian itu bukan hanya sekadar tempat untuk mencari rezeki, tetapi ia adalah tempat untuk menghormati dan berhubung dengan sejarah serta roh-roh mereka yang telah lama berlalu.
Bagi Kreman, dusun itu bukan hanya tempat menghasilkan buah durian, tetapi tempat yang penuh dengan rahsia dan keberadaan yang tidak tampak oleh mata kasar.
Sejak itu, Kreman akan memastikan untuk tidak mengganggu dusun tersebut. Dia menyedari bahawa dalam keheningan dan kesunyian, terdapat keberadaan yang tidak nampak oleh mata kasar, yang perlu dihormati dan dijaga.
Dusun itu bukan sahaja milik mereka yang masih hidup, tetapi juga milik mereka yang telah pergi, yang sentiasa menjaga tempat itu dengan penuh kasih sayang.
Kreman berjanji pada dirinya sendiri untuk menjaga dusun itu dengan penuh rasa hormat, kerana dia tahu, dalam setiap buah durian yang jatuh, ada rahsia yang lebih besar yang melibatkan kehidupan dan kematian, masa lalu dan masa depan.
Oleh Reagan Niru