
KUCHING: Menjelang penghujung 2025 dan awal tahun baharu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan terus komited membantu golongan kurang berkemampuan apabila Hope Place Kuching menziarahi seorang warga emas yang menderita akibat strok di sebuah rumah kedai di Batu 7 di sini, baru-baru ini.
Pesakit berkenaan, Engkamat Entali, 65, diserang strok pada Disember lalu dan kini bergantung sepenuhnya kepada anak perempuannya yang berusia 22 tahun untuk meneruskan kehidupan seharian.
Engkamat berasal dari Sri Aman dan sebelum ini bekerja sebagai petani kecil bersama isterinya, Ing, 59, dengan mengusahakan tanaman padi dan lada.
Namun, pada 2020 beliau disahkan menghidap penyakit jantung koronari sebelum berpindah ke Kuching pada 2023 bagi mendapatkan akses rawatan kesihatan yang lebih baik.
Beliau kemudiannya tinggal di sebuah bilik sewa kecil di Batu 7 bersama anaknya, Alicia, manakala isterinya kekal di Sri Aman untuk menguruskan ladang kecil mereka.
Keadaan kesihatan Engkamat bagaimanapun semakin merosot tahun lalu sehingga beliau diserang strok, menyebabkan isterinya turut berpindah ke Kuching bagi menjaganya.
Ketika ini, Engkamat masih dalam proses pemulihan, berada dalam keadaan lemah namun tidak terlantar sepenuhnya. Beliau masih bergantung kepada tiub pemakanan kerana tidak mampu menelan makanan.
Ketiga-tiga mereka kini menetap di bilik sewa kecil tersebut, dengan Alicia sebagai satu-satunya pencari nafkah yang bekerja sebagai juruwang dan memperoleh pendapatan minimum.
Engkamat menerima bantuan kebajikan bulanan sebanyak RM200, manakala Hope Place Kuching membantu dengan membekalkan susu khas bagi menyokong keperluan pemakanannya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (PKHK) di talian 082-505987 atau 013-5672775.
Sumbangan juga boleh disalurkan terus ke akaun bank Maybank bernombor 511289001160, atau melalui kod QR Sarawak Pay/S PAY GLOBAL yang tersedia di laman Facebook persatuan berkenaan. Resit akan dikeluarkan atas permintaan.