KUCHING: Pesakit dialisis perlu diberikan sokongan yang lebih besar kerana ramai bukan sahaja berdepan cabaran fizikal dan emosi akibat penyakit kronik, malah turut menghadapi masalah kewangan susulan peluang pekerjaan yang terhad serta kos rawatan yang berterusan.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian, berkata pengalaman seorang pesakit dikenali sebagai Yap yang kehilangan pekerjaan akibat keadaan kesihatannya menggambarkan realiti sukar yang dihadapi golongan berkenaan.
“Menurut Yap, beliau dimaklumkan oleh majikannya bahawa rawatan dialisis yang bakal dijalaninya akan menjejaskan keupayaannya untuk melaksanakan tugas. Akibatnya, beliau diberhentikan kerja walaupun rawatan tersebut masih belum bermula,” katanya.
Kong berkata, selain kehilangan pendapatan, pesakit dialisis turut berdepan peluang pekerjaan yang terhad serta kos rawatan dan keperluan harian yang perlu ditanggung.
“Dialisis bukan satu pilihan tetapi satu keperluan. Ramai pesakit perlu menjalani rawatan selama beberapa jam setiap minggu bagi memastikan kesihatan mereka terpelihara dan membolehkan mereka meneruskan kehidupan seharian,” katanya.
Menurutnya, jadual rawatan yang mencabar juga boleh menyukarkan pesakit untuk mengekalkan pekerjaan sepenuh masa, sekali gus menambah tekanan kepada mereka dan keluarga.
Beliau berkata demikian selepas bertemu Yap yang berkongsi kesukaran dihadapinya selepas kehilangan pekerjaan akibat keadaan kesihatannya.
“Walaupun rawatan perubatan membantu mengekalkan kesihatan mereka, sokongan keluarga dan rakan-rakan pula membantu menguatkan semangat mereka. Sebagai masyarakat, kita perlu melakukan lebih banyak usaha untuk menyokong individu yang berdepan penyakit kronik dan bukannya membiarkan mereka menghadapi cabaran ini bersendirian,” katanya.
Kong berkata, beliau akan terus memberikan bantuan kewangan kepada pesakit dialisis sebagai tanda solidariti kepada Yap serta individu lain yang berada dalam keadaan sama.
“Walaupun sumbangan ini mungkin tidak dapat menyelesaikan semua kesukaran yang mereka hadapi, kami berharap ia dapat meringankan sedikit beban serta menjadi peringatan bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjalanan ini,” katanya.
Oleh Connie Chieng




