Pesakit diabetes jangan tunggu mata rosak baru dapatkan rawatan – Dr Sim

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Pesakit diabetes disaran menjalani pemeriksaan mata atau fundoskopi sekurang-kurangnya sekali setahun bagi mengesan komplikasi penyakit itu lebih awal sebelum menjejaskan penglihatan secara kekal.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kira-kira satu daripada tiga pesakit diabetes mengalami komplikasi pada mata, sekali gus menegaskan kepentingan menjalani pemeriksaan fundoskopi sekurang-kurangnya sekali setahun.

DATUK Amar Dr Sim Kui Hian bercakap ketika ditemui pemberita selepas Program Fundoskopi Percuma anjuran DMCNS di DMCNS, Kuching.

“Ramai individu masih tidak menyedari mereka menghidap diabetes walaupun kadar prevalens penyakit itu di Sarawak kini dianggarkan sekitar 17 hingga 18 peratus.

“Diabetes bukan sahaja menjejaskan paras gula dalam darah malah boleh menyebabkan komplikasi serius melibatkan mata, buah pinggang, jantung dan saraf sekiranya tidak dikawal dengan baik.

 DATUK Amar Dr Sim Kui Hian menyantuni masyarakat yang datang ke Program Fundoskopi Percuma anjuran DMCNS di DMCNS, Kuching.

“Di Hospital Umum Sarawak sendiri berlaku satu hingga dua kes amputasi kaki setiap hari akibat komplikasi diabetes yang menyebabkan kerosakan saraf dan kehilangan deria pada kaki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Fundoskopi Percuma anjuran Diabetes Malaysia Cawangan Negeri Sarawak (DMCNS), di sini, hari ini.

 SIMBOLIK pelancaran Program Fundoskopi Percuma anjuran DMCNS disempurnakan oleh Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama Dr. William Voon di DMCNS, Kuching.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat supaya tidak menangguhkan pemeriksaan kesihatan kerana komplikasi diabetes masih boleh dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengamalkan pemakanan secara sederhana dan mengawal berat badan kerana masalah terlebih pemakanan kini menjadi antara faktor utama peningkatan kes diabetes dan obesiti.

Sementara itu, Pengerusi DMCNS, Dr William Voon berkata, diabetes merupakan penyebab utama kebutaan akibat penyakit tidak berjangkit, justeru pemeriksaan mata secara berkala perlu dijadikan amalan oleh setiap pesakit diabetes.

 DR. William Voon berucap pada Program Fundoskopi Percuma anjuran DMCNS, Kuching.

“Berdasarkan pengalaman hampir 50 tahun dalam bidang perubatan, masih ramai masyarakat tidak pernah menjalani pemeriksaan mata secara menyeluruh walaupun ia penting untuk mengesan kerosakan retina lebih awal.

“DMCNS berharap dapat memperluaskan lebih banyak program saringan seperti itu pada masa hadapan dengan kerjasama Klinik Oftalmologi Hospital Umum Sarawak selain menghargai sokongan berterusan kerajaan negeri,” ujarnya.

Untuk rekod, fundoskopi merupakan pemeriksaan bahagian belakang mata yang membolehkan doktor menilai keadaan retina, cakera optik, makula dan saluran darah bagi mengesan komplikasi diabetes sebelum gejala menjadi serius.

Pesakit diabetes serta individu yang mempunyai gangguan toleransi glukosa disaran menjalani pemeriksaan fundoskopi sekurang-kurangnya sekali setahun kerana retinopati diabetes lazimnya tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal tetapi boleh menyebabkan kehilangan penglihatan jika tidak dirawat.

Oleh Masrin Affirah

Program Saringan Kesihatan Komuniti perkasa amalan hidup sihat

MESYUARAT… Antara ahli jawatankuasa yang menghadiri mesyuarat penyelarasan Program Saringan Kesihatan Komuniti 2026 sebagai persediaan menjelang penganjurannya pada 18 Julai ini di Dewan Masyarakat Bintangor. Foto Pusat Khidmat Meradong.