SIBU: Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM) terus komited dalam mendidik anak-anak yatim dengan memberi fokus bukan hanya kepada kebajikan malah juga pembangunan akademik mereka.
Pengerusi Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang (KKJTHB) Sibu, Dato Mohamad Yusnar Matalie berkata, PERYATIM bukan sekadar tempat untuk menyediakan makan minum anak-anak, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana membentuk mereka menjadi insan yang berguna kepada negara dan bangsa.
“Selain kebajikan, kami juga memberi ruang untuk perkembangan akademik dan bakat mereka melalui pelbagai aktiviti seperti kelab muzik, kelab tarian, dan kelab kulinari.
“Aktiviti-aktiviti ini memberi peluang kepada anak-anak untuk berdikari dan tidak hanya bergantung kepada waris,” katanya dalam ucapan perasmian majlis kesenian dan apresiasi KKJTHB Sibu, yang diadakan petang semalam.
Yusnar, yang juga Ahli Lembaga PERYATIM Sarawak turut berkongsi pencapaian membanggakan seorang anak yatim yang kini melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang sains geoinformatik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.
“Anak ini merupakan satu-satunya penerima biasiswa penuh di Kompleks Peryatim Sarawak.
“Ini adalah pencapaian luar biasa, dan kami berharap anak-anak yang lain, yang kini berjumlah 58 orang, dapat mengikut jejak langkahnya,” tambahnya.
Beliau turut menekankan bahawa kompleks tersebut menyediakan kelas tuisyen untuk memastikan anak-anak dapat menguasai 3M (Membaca, Menulis, dan Mengira) serta kelas tambahan bagi pelajar yang memerlukan sokongan dalam pembelajaran.
“Program pendidikan ini bertujuan untuk memastikan anak-anak terus maju dalam bidang akademik dan berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi.
“Selain itu, kemudahan infrastruktur yang disediakan juga bertujuan untuk memberi persekitaran yang kondusif kepada anak-anak,” kata Yusnar.
Menurutnya lagi, semua usaha ini adalah hasil kerjasama antara pihak pengurusan, masyarakat, dan pelbagai pihak yang prihatin terhadap kebajikan serta pendidikan anak-anak di Kompleks Peryatim.
“Tidak kira apa juga cabaran yang dihadapi, kami berharap anak-anak di Kompleks Peryatim akan berkembang menjadi modal insan yang berjaya dan memberi manfaat pada masa depan,” katanya.
Oleh TARANI LANTING