
SIBU: Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (Peryatim), Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang Sibu, akan menganjurkan program Peryatim Bersama Komuniti 2025 di kompleks tersebut pada Sabtu ini.
Menerusi kenyataan di Facebook, program tersebut yang bermula jam 9 pagi hingga 2 petang, bertujuan merapatkan hubungan antara warga PERYATIM dan masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti menarik yang disediakan.
Antara pengisian utama termasuk program derma darah dan saringan kesihatan percuma, kaunter MySDEC, serta persembahan tarian dan persembahan live band oleh warga Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang (KKJTHB).
Orang ramai khususnya penduduk sekitar Sibu dijemput hadir memeriahkan program ini dan bersama-sama menyokong usaha kebajikan yang dijalankan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti laman Facebook dan TikTok rasmi Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang Sibu atau menghubungi talian 084-366569.
Oleh Akun Giman