Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Perutusan: Tun Wan Junaidi gesa perpaduan, kewaspadaan AI dan kerjasama membangunkan Sarawak
  • TEMPATAN

Perutusan: Tun Wan Junaidi gesa perpaduan, kewaspadaan AI dan kerjasama membangunkan Sarawak

Utusan Sarawak 7 hours ago
TUN Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa seluruh rakyat Sarawak agar terus memelihara perpaduan, menghayati nilai sejagat serta berganding bahu membina negeri yang lebih maju dan makmur menjelang Tahun Baharu 2026.

Menerusi Perutusan Hari Krismas 2025 dan Tahun Baharu 2026, beliau merakamkan ucapan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut Kristian di Sarawak serta di mana jua mereka berada, sambil berharap sambutan diraikan dalam suasana penuh kegembiraan, kasih sayang kekeluargaan dan keharmonian.

Menurut Tun Wan Junaidi, perayaan Krismas membawa makna mendalam yang melambangkan kasih sayang, keikhlasan serta semangat memberi dan berkongsi, nilai-nilai sejagat yang wajar terus diamalkan dalam kehidupan seharian demi memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak.

Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap tradisi Rumah Terbuka yang terus menjadi amalan pada setiap sambutan perayaan utama termasuk Aidilfitri, Gawai Dayak, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas, yang disifatkan sebagai wadah penting mengeratkan silaturahim serta persefahaman rakyat berbilang kaum dan agama.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan rakyat mengambil peluang sempena musim perayaan untuk ziarah-menziarahi keluarga, sahabat dan kenalan sebagai lambang bahawa perbezaan bukan pemisah, sebaliknya kekuatan yang mematangkan masyarakat untuk hidup saling menghormati dan menyayangi.

Tun Wan Junaidi turut menyentuh isu kemanusiaan global dengan merujuk keberanian sukarelawan antarabangsa termasuk rakyat Malaysia yang terlibat dalam Misi Kemanusiaan Sumud Flotilla, yang membawa mesej kasih sayang sejagat dan solidariti tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

Menjelang Tahun Baharu 2026, beliau berkata 2025 telah menguji ketabahan rakyat dengan pelbagai cabaran termasuk bencana alam, kemalangan jalan raya, kebakaran serta isu sosial seperti kes buli dan peningkatan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda.

Dalam hal ini, beliau menegaskan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan, komuniti tempatan dan semua pihak berkepentingan bagi melaksanakan langkah pencegahan dan penambahbaikan yang lebih berkesan, selaras dengan prinsip “pencegahan lebih baik daripada rawatan.”

Tun Wan Junaidi turut mengingatkan rakyat tentang bahaya dan risiko penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), khususnya berkaitan penipuan, manipulasi maklumat serta penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Beliau menggesa rakyat agar sentiasa menyemak fakta, berfikir secara analitikal serta menjadi pengguna teknologi yang celik, beretika dan bertanggungjawab.

Dalam perutusannya, beliau menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan barisan kabinet negeri dalam meneruskan usaha memperkukuh ekonomi, kesejahteraan rakyat serta mempromosikan nilai murni demi mencapai visi Sarawak Maju Makmur.

Beliau turut menyuarakan kebanggaan terhadap pencapaian Sarawak yang kini menunjukkan ciri-ciri sebuah wilayah maju melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), termasuk pertumbuhan ekonomi berpendapatan tinggi, pembangunan tenaga hijau dan hidrogen, sistem pengangkutan pintar, infrastruktur moden, pendidikan berkualiti serta pengurusan kewangan negeri yang kukuh dengan penarafan kredit AAA.

Mengakhiri perutusan, Tun Wan Junaidi menegaskan bahawa kerjasama padu antara rakyat dan kerajaan Sarawak merupakan kunci utama untuk memastikan segala perancangan dan dasar pembangunan dapat direalisasikan, seterusnya mencapai sasaran menjadikan Sarawak sebuah wilayah maju, adil dan makmur menjelang 2030.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Kesedaran dan tindakan masyarakat penting cegah denggi – Wee Hong Seng
Next: Perutusan: Uggah gesa penganut Kristian sokong Premier demi Sarawak harmoni, bersatu dan makmur

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.