KUCHING: Sarawak terus melangkah maju dan berdaya saing dalam pelbagai bidang bagi mengukuhkan ekonomi sepanjang 61 tahun berada dalam Persekutuan Malaysia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sekarang ini tumpuan adalah ke arah dasar penjanaan ekonomi mapan berteraskan sumber baharu dan ekonomi digital.
“Alhamdulillah, Sarawak semakin ke hadapan dengan kekuatan yang ada dan pencapaian yang unggul. Sarawak dengan penjanaan pendapatan yang tinggi telah diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai sebuah wilayah berpendapatan tinggi pada tahun lepas.
“Saya amat berharap pembangunan ekonomi akan terus pesat dan keharmonian rakyat pelbagai agama dan bangsa di Sarawak akan terus berkekalan pada masa hadapan berbekalkan semangat ‘Segulai Sejalai’ yang terbina atas dasar saling hormat-menghormati,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan bersempena sambutan Hari Malaysia 2024 yang disambut hari ini.
Abang Johari berkata pendekatan baharu dilakukan kerajaan Sarawak adalah berteraskan dasar Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, PCDS 2030 mempunyai tiga dasar utama, iaitu menekankan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar sebagai landasan utama ke arah menjadikan Sarawak sebuah wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Beliau berkata Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun adalah wadah untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dan Singapura (sebelum keluar dari Malaysia pada tahun 1965) telah bersetuju untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963 melalui Perjanjian Malaysia 1963 .
“Dengan tema yang dipilih; ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’, sempena Hari Malaysia dan Hari Kebangsaan pada tahun ini, tema ini juga secara simboliknya merupakan sebuah seruan khas kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memantapkan dan menghayati erti sebenar kemerdekaan dalam jiwa dan jati diri setiap warga Malaysia yang cintakan tanah air.
“Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah dan kurniaNya, kita dapat meraikan sambutan Hari Malaysia 2024. Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024 disambut di Bahagian Sri Aman.
“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh Ahli Jawatankuasa sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024 yang diketuai oleh Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak pada tahun ini yang telah berusaha dengan gigih untuk mempastikan sambutan pada tahun ini meriah.
“Akhir kalam, Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Sarawak. Semoga ikatan perpaduan kita terus teguh dengan semangat setiakawan yang tinggi dalam usaha bersama untuk memajukan Sarawak dan negara serta juga melahirkan generasi Madani yang memiliki jati diri yang tinggi dan setia sepanjang masa pada ibu pertiwi.
“Salam Segulai Sejalai,
Salam Sarawak Maju Makmur,
Salam Malaysia Madani,
Jaga Sarawak Intu Sarawak,” katanya.