KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berhasrat untuk menjadikan Sarawak sebagai pusat penerbangan serantau yang berdaya saing.
Menurutnya, negeri ini bakal merealisasikan impian untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri melalui pengambilalihan MASWings dari Malaysia Aviation Group (MAG) sebelum Hari Raya, dengan proses penilaian yang kini sudah selesai.
“Proses penilaian telah selesai dan tidak lama lagi kita akan menandatangani perjanjian pengambilalihan tersebut.
“Dengan pembinaan lapangan terbang antarabangsa moden yang baharu di Kuching dan model perniagaan yang disesuaikan untuk tujuan kita, saya yakin kita dapat membangunkan syarikat penerbangan baharu ini sebagai pengangkut serantau yang berdaya saing.
“Langkah ini juga akan menjadikan Kuching sebagai hab penerbangan yang baharu,” katanya dalam perutusan khas Tahun Baharu Cina 2025, hari ini.
Dalam perutusan khas itu, Abang Johari mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2025 kepada seluruh rakyat Sarawak yang menyambut perayaan ini, khususnya masyarakat Cina.
“Pada kesempatan ini, saya dan isteri, serta keluarga saya, ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada seluruh rakyat Sarawak daripada kaum Cina.
“Semoga tahun baru ini membawa keceriaan dan kebahagiaan kepada anda semua bersama keluarga dan sahabat handai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa Tahun Baharu Cina bukan sahaja satu perayaan yang penting bagi kaum Cina, malah juga menjadi satu platform untuk mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum di Sarawak.
“Amalan kunjung-mengunjung yang menjadi tradisi masyarakat Cina memperlihatkan hubungan yang sangat akrab antara semua kaum di negeri ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Abang Johari berharap agar sambutan perayaan ini terus digunakan sebagai peluang untuk memperkukuhkan keharmonian antara kaum, budaya, dan agama yang pelbagai di Bumi Kenyalang ini.
“Saya berdoa agar perayaan ini dijadikan platform untuk kita memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian, serta mewujudkan suasana yang lebih harmonis dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Abang Johari juga mengambil kesempatan untuk berkongsi maksud di sebalik Tahun Ular Kayu, yang menurutnya melambangkan kebijaksanaan, intuisi, dan transformasi.
“Tahun ini memberi peluang kepada kita untuk menilai masa lalu dan bergerak maju dengan kebijaksanaan, kesedaran, dan belas kasihan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyatakan kejayaan penting bagi Sarawak apabila pelancaran pertama produk metanol dari Bintulu ke China pada 14 Januari lalu, yang menandakan langkah pertama dalam usaha negeri untuk mengembangkan industri hiliran gas.
“Dengan kejayaan ini, Sarawak terus membuktikan bahawa kami berusaha untuk memanfaatkan sumber gas kami bukan hanya untuk dieksport, tetapi juga untuk penghasilan produk hiliran yang akan menjana ekonomi dan menyediakan pekerjaan dengan gaji yang tinggi,” katanya.
Sebagai penutup, Abang Johari menyeru agar rakyat Sarawak terus berusaha memperkukuhkan perpaduan antara pelbagai kaum, agama, dan budaya di negeri ini.
“Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2025 dan semoga kita beroleh kesejahteraan dan dikurniakan dengan kesihatan yang baik. Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le,” katanya.