KUCHING: Tahun baharu 2025 bakal disambut dengan keyakinan besar oleh Sarawak, membawa harapan dan cita-cita untuk terus menjadi negeri yang makmur, sejahtera dan inklusif.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggariskan hala tuju negeri ini untuk tahun mendatang, menekankan projek-projek strategik yang bakal mengubah landskap ekonomi dan sosial negeri.
Katanya, antara projek berimpak tinggi yang diumumkan termasuk pelabuhan laut dalam dan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching.
Kedua-dua projek ini katanya, dijangka menjadi pemangkin utama untuk menjadikan Sarawak sebagai hab perdagangan dan logistik serantau, sekali gus membuka peluang besar kepada sektor ekonomi dan pelaburan.
“Sarawak kini bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan asas, tetapi juga kepada infrastruktur berteknologi tinggi yang akan memperkukuh kedudukan kita di pentas global,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2025.
Abang Johari berkata 2025 juga bakal menyaksikan pemacuan sektor pertanian moden menggunakan teknologi pintar.
Selain itu, beliau turut mengulangi bahawa kerajaan sedang giat membuat persiapan untuk melaksanakan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi pada 2026, satu inisiatif yang disifatkan mampu memberi impak besar kepada generasi muda Sarawak.
Premier Sarawak turut menyatakan bahawa Kajian Separuh Penggal Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030) akan dijalankan.
Katanya, kajian ini penting untuk menilai kejayaan program-program yang sedang dilaksanakan, termasuk projek bekalan air bersih, peningkatan ketersambungan internet, dan program kesejahteraan sosial.
“Kami komited untuk memastikan setiap rakyat Sarawak, tanpa mengira latar belakang, agama, atau bangsa, dapat menikmati manfaat pembangunan ini,” katanya.
Mengakhiri perutusannya, beliau mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2025 kepada seluruh rakyat Sarawak.
“Semoga tahun ini membawa kebahagiaan, keberkatan dan kejayaan kepada kita semua. Marilah kita berganding bahu merealisasikan Sarawak yang kita impikan,”katanya.