
KUCHING: Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menasihatkan mereka yang memandu untuk balik menyambut Gawai Dayak supaya memandu dengan berhemah.
Yang di-Pertua Negeri berkata mereka juga perlu sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
“Pastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik dan selamat, termasuk pemeriksaan terhadap keadaan tayar, sistem brek, penyelarasan (alignment) dan stereng kenderaan.
“Sebelum berangkat, pastikan juga rumah yang ditinggalkan dikunci dengan sempurna dan semua bekalan elektrik dimatikan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan perayaan Hari Gawai yang disambut esok.
Wan Junaidi mengingatkan bahawa insiden kemalangan jalan raya yang membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5 di Jalan Chikus – Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak baru-baru ini harus dijadikan iktibar kepada kita semua.
Tragedi sebegini kata beliau, seharusnya membuka mata tentang pentingnya mematuhi aspek keselamatan dan memandu dengan penuh tanggungjawab.
“Sambutlah perayaan ini dengan penuh kesederhanaan, bertanggungjawab, dan utamakan keselamatan demi kesejahteraan keluarga serta masyarakat keseluruhannya.
“Dalam kegembiraan kita menyambut perayaan Hari Gawai Dayak ini, saya dan keluarga ingin mengingatkan seluruh rakyat Sarawak agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Dengan ada jaringan jalan raya yang lebih baik dan selesa, termasuk Lebuh Raya Pan Borneo, janganlah kemudahan ini disalahgunakan sebagai litar lumba.
“Utamakan keselamatan, biarlah lambat asalkan selamat sampai ke destinasi,” katanya.