KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menasihati rakyat Malaysia untuk terus bersama-sama memperkukuhkan perpaduan dan kemajuan negara dalam perutusannya sempena Hari Kebangsaan 2024.
Katanya, Hari Merdeka bukan hanya sekadar hari peringatan, tetapi juga sebagai hari untuk menghormati keberanian dan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah berusaha tanpa mengenal penat lelah demi memastikan kemerdekaan negara tercapai.
“Kita mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan legasi mereka dengan mempersiapkan negara kita menghadapi cabaran dan peluang pada masa hadapan,” katanya dalam perutusannya sempena Hari Kebangsaan.
Uggah turut menekankan bahawa dunia kini sedang mengalami perubahan pesat, dengan teknologi, inovasi dan globalisasi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat untuk terus memupuk semangat perpaduan dan kebebasan dengan melengkapkan diri serta generasi masa depan dengan ilmu, kemahiran, dan daya tahan diperlukan untuk berjaya dalam era baharu ini.
“Keunikan dan kekuatan kita terletak pada kepelbagaian budaya dan latar belakang kita. Dengan bekerja bersama-sama, kita mampu membina Malaysia yang bukan sahaja kukuh dan bersatu, tetapi juga progresif dan inovatif,” tambahnya.
Uggah juga menggesa rakyat untuk menghayati semangat Merdeka dengan menggalakkan budaya pembelajaran berterusan, kreativiti, dan kerjasama.
Ini, katanya, adalah jalan untuk memastikan Malaysia terus menjadi mercu tanda harapan, kemakmuran, dan keamanan untuk semua.
Beliau turut menekankan kepentingan pelaburan dalam pendidikan, pemberdayaan belia, dan pemeliharaan alam sekitar sebagai asas kepada kejayaan masa depan negara.
“Pada Hari Merdeka ini, marilah kita memperbaharui komitmen kita kepada matlamat-matlamat ini. Hasil daripada kejayaan tersebut adalah milik kita semua untuk dikongsi bersama,” katanya.
Beliau mengucapkan Selamat Hari Merdeka kepada seluruh rakyat Malaysia dan mendoakan agar negara terus maju dan bersinar di persada dunia.
“Segulai, Sejalai, kita lebih kuat. Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Katanya mengakhiri perutusan tersebut.
Oleh SHAHRUL QAIZAT