SARIKEI: Tiga rumah ibadat menerima peruntukan keseluruhan RM1 juta daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menyokong keperluan dan pembangunan institusi keagamaan masing-masing.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata bantuan tersebut mencerminkan perhatian berterusan kerajaan terhadap keperluan rumah ibadat serta kepentingannya kepada masyarakat setempat.
“Sumbangan ini diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap penerima bagi memenuhi keperluan rumah ibadat masing-masing dan memberi manfaat kepada komuniti.
“Kita mahu kemudahan keagamaan yang digunakan masyarakat terus berada dalam keadaan baik, selesa dan sesuai untuk menjalankan aktiviti,” katanya.
Tiong Sii, yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, berkata demikian selepas menyerahkan cek UNIFOR kepada wakil tiga rumah ibadat berkenaan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Repok, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, Gereja Methodist Wan Fu Tak Teck menerima RM100,000, manakala Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei menerima RM450,000.
Tokong Fu Gui Ting pula menerima peruntukan sebanyak RM450,000, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan sebanyak RM1 juta.
Katanya, rumah ibadat bukan sahaja menjadi tempat masyarakat menjalankan aktiviti keagamaan, malah turut memainkan peranan dalam memperkukuh hubungan serta keharmonian dalam komuniti.
“Sarawak mempunyai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama dan latar belakang. Keharmonian yang kita nikmati perlu terus dipelihara melalui sikap saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
“Saya berharap bantuan ini dapat membantu penerima melaksanakan perancangan mereka dan seterusnya menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya.
Tambahnya, kerjasama antara kerajaan, pertubuhan keagamaan dan masyarakat penting bagi memastikan keharmonian yang menjadi antara kekuatan Sarawak terus dipertahankan.
Beliau turut berharap peruntukan yang diterima dapat diurus dan dimanfaatkan dengan baik mengikut keperluan setiap rumah ibadat, sekali gus memberi manfaat berpanjangan kepada komuniti setempat.
Oleh Earl Anek




