Kerajaan Sarawak menyampaikan geran berjumlah RM15 juta kepada 123 sekolah mubaligh di seluruh negeri.
Ia juga memberikan geran tambahan sebanyak RM7 juta melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada 55 rumah ibadat bukan Islam yang berbeza.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga merupakan Menteri bertanggungjawab bagi UNIFOR, memberikan semua geran ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan atau wakil sekolah Katolik, Anglikan dan Methodist dan rumah ibadat di pejabatnya.
Bercakap selepas majlis itu, beliau berkata, pemberian itu sekali lagi mencerminkan dasar inklusif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Uggah berkata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi tahun ini memperuntukkan sejumlah RM50 juta kepada UNIFOR untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Menyentuh geran awal RM15 juta yang diberikan kepada sekolah mubaligh, beliau berkata, ini adalah kali pertama ia diperuntukkan.
“Sekolah sebegini, boleh mengharapkan lebih banyak geran seperti itu,” katanya.
Uggah menambah, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta lagi untuk membantu pelbagai rumah ibadat yang kutipan mingguannya terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Ini bagi menampung kos operasi dan perbelanjaan lain mereka. Kami akan mengagihkan dana ini tidak lama lagi,” katanya.