KUALA LUMPUR: Peruntukan tambahan sebanyak RM250 juta bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan khusus untuk manfaat kontraktor kecil Bumiputera dapat membantu kumpulan itu bangkit pascapandemik Covid-19 selepas terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Pengarah Urusan IZR VENTURES Muhammad Ridzwan Ab Manaf berkata, langkah kerajaan itu dapat kembali merancakkan sektor penyelenggaraan khususnya untuk syarikat kecil bumiputera sekali gus langkah positif untuk mengurangkan kemalangan akibat masalah jalan raya berlubang.
“Penambahan dana ini mungkin akan menjadi satu platform kepada kontraktor kecil untuk memajukan syarikat dan seterusnya dapat berdaya saing dengan syarikat lebih besar,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Muhammad Ridzwan berharap peruntukan itu dapat disasarkan secara telus kepada kontraktor-kontraktor berkelayakan dan berpengalaman bagi memastikan kualiti kerja yang diberi memberi impak besar kepada pengguna jalan raya selain dapat mengelakkan kerja pembaikan yang berulang di lokasi sama.
Tambahan RM250 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menjadikan peruntukan penyelenggaraan berkala pavemen Jalan Persekutuan dalam Belanjawan 2023, meningkat kepada RM1 bilion.
Menurut Anwar, kerajaan amat memahami kepentingan dan keperluan penyelenggaraan berkala di Jalan Persekutuan supaya jalan sentiasa selamat dan selesa untuk kegunaan rakyat, khususnya melibatkan masalah jalan raya berlubang sebagai antara penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Sementara itu, Pengarah WZS Builders Sdn Bhd Wan Zairul Shah berkata, tambahan peruntukan itu merupakan inisiatif yang bagus kerana ia dapat memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan lebuh raya lebih terjamin.
“Tambahan peruntukan itu perlu digunakan sebaiknya agar keselamatan pengguna menjadi keutamaaan kerajaan dan memastikan peruntukan sampai sepenuhnya tanpa melibatkan broker sebagai orang tengah.
“Takut apabila perkara ini (penglibatan broker) berlaku, kos akan meningkat dan kualiti kerja tidak seperti yang ditetapkan dalam kontrak. Apabila perkara ini berlaku yang rugi ialah rakyat,” katanya.
Justeru, Wan Zairul mencadangkan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) banteras rasuah dalam proses agihan peruntukan berkenaan bagi memastikan ia dilakukan secara adil. – Bernama