
LUNDU: Penduduk Kampung Biawak bakal menikmati sistem bekalan air yang lebih cekap dan teratur menerusi pelaksanaan projek naik taraf sistem paip graviti yang melibatkan peruntukan berjumlah RM700,000.
Projek berimpak tinggi ini dibiayai sepenuhnya di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dan merupakan salah satu inisiatif kerajaan Sarawak dalam memperkasa prasarana asas luar bandar khususnya bekalan air bersih dan mampan.
Majlis penyerahan tapak projek kepada kontraktor pelaksana, ED Builders Enterprise telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang di Dewan Serbaguna Kampung Biawak, hari ini.
Beliau menzahirkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap kawasan luar bandar menerima kemudahan asas yang setara dan berkualiti.
“Projek ini bukan sahaja bertujuan memperbaiki sistem sedia ada, tetapi juga sebagai langkah jangka panjang untuk memastikan penduduk mendapat bekalan air yang mencukupi dan bersih setiap masa,” ujar beliau.
Skop projek merangkumi pembinaan empangan baharu, pemasangan tangki simpanan air baharu, penukaran paip utama kepada saiz lebih sesuai serta kerja-kerja penyambungan paip ke rumah-rumah penduduk.
Turut hadir Pegawai Menguasa Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Daerah Lundu, Hastomo Tommy, Ketua Kaum Kampung Biawak, Linang Juki, ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ahli-ahli Biro Wanita Kampung Biawak.
-UKAS