
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Wilfred Yap, menegaskan komitmennya untuk terus menangani isu banjir di kawasannya melalui pelaksanaan projek menaik taraf sistem saliran utama di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi 2024 dan 2025.
Dalam lawatan tapak yang diiringi pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), Yap meninjau dua lokasi penting iaitu kawasan di sepanjang Depoh Renjer Jalan Kuching, berhadapan Wisma Lestari, dan sekitar Perpustakaan Batu 7.
Lawatan itu, katanya, bertujuan memuktamadkan skop kerja dan bil kuantiti projek sebelum pelaksanaan.
Dua projek tersebut, jelas Yap, masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM250,000 di bawah RTP 2024 dan RM350,000 di bawah RTP 2025.
“Projek ini merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang bagi mengurangkan banjir kilat, meningkatkan keselamatan jalan raya, serta mencegah hakisan akibat sistem saliran tanah yang sudah usang dan tidak berkesan.
“Dengan menggantikan longkang sedia ada kepada sistem saliran konkrit yang lebih moden, kita dapat menyediakan infrastruktur yang lebih mampan untuk penduduk Kota Sentosa,” ujar Yap.
Yap turut merakamkan penghargaan kepada pegawai JKR atas profesionalisme dan tindakan segera mereka dalam menyediakan asas pelaksanaan projek.
“Saya akan terus memperjuangkan lebih banyak peruntukan sehingga semua sistem perparitan lama di Kota Sentosa dapat dinaik taraf secara sistematik.
“Rakyat kita berhak menikmati kemudahan infrastruktur yang selamat, cekap dan berdaya tahan,” tegasnya.
Oleh Connie Chieng