
SIMUNJAN: Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk memajukan Hutan Simpan Sabal sebagai hab ekopelancongan dan pusat terapi alam semula jadi bertaraf dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pusat berkenaan akan menempatkan pelbagai kemudahan seperti pusat penyelidikan, makmal, ruang konservasi, penginapan serta fasiliti rekreasi yang dijangka mula dibangunkan tahun depan dan siap menjelang 2028.
Menurut beliau, kawasan hutan asli itu akan dibangunkan sebagai destinasi riadah keluarga berkonsepkan ‘penyelesaian berasaskan alam semula jadi’ yang mengekalkan keaslian ekosistemnya sambil dilengkapi kemudahan moden untuk keselesaan pengunjung.
“Saya sudah meluluskan RM60 juta untuk membangunkan kemudahan di Hutan Simpan Sabal ini.
“Duit sudah ada, semua dokumen siap hanya tinggal untuk dilaksanakan,” katanya ketika berucap semasa Majlis Peluncuran Hutan Simpan Sabal sebagai Hab Ekopelancongan, di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Sijil Malaysia Book of Records (MBOR) serta Anugerah Hijau kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik yang menyokong inisiatif penghijauan negeri.
Tambah beliau, kawasan tersebut mempunyai potensi besar untuk dijadikan destinasi riadah dan pusat terapi semula jadi bagi masyarakat tempatan serta pelancong luar, memandangkan lokasinya yang strategik antara Kuching dan Sri Aman.
“Kawasan ini sangat sesuai untuk terapi, udara segar, suasana tenang dan kaya dengan kehijauan semula jadi. Inilah kelebihan hutan kita yang asli bukan hutan buatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut menyatakan hasrat menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat pendidikan alam semula jadi dan pertukaran pelajar antarabangsa termasuk dari Singapura dan negara-negara ASEAN bagi memberi pendedahan tentang pemeliharaan alam sekitar serta isu perubahan iklim.
“Kita mahu dunia datang melihat bagaimana Sarawak mengurus hutan secara lestari dan bertanggungjawab. Inilah contoh model ekonomi hijau masa depan,” tegasnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan tetamu kenamaan lain.
-UKAS