
LIMBANG: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan berjumlah RM6 juta kepada Amanah Kebajikan Bisaya Sarawak untuk mengembangkan sektor ternakan kerbau di Batu Danau.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Sarawak menjadikan kawasan Lawas dan Limbang sebagai kawasan pengeluaran ternakan kerbau dan produk berasaskan kerbau seperti yang dibangunkan di Stesen Penternakan Kerbau Maragang Lawas untuk mengeluarkan susu kerbau berkualiti dan diproses menjadi keju mozarella.
“Premier Sarawak bersetuju untuk memberi peruntukan dalam bentuk geran kepada Amanah Kebajikan Bisaya Sarawak untuk membolehkan mereka terlibat dengan pemeliharaan kerbau.
“Jadi ini adalah satu inisiatif baik untuk kita kerana kerajaan Sarawak sudah membuat keputusan Limbang dan Lawas ini dijadikan sebagai satu kawasan untuk pengeluaran kerbau dengan penglibatan masyarakat sekali gus dapat menyokong hasrat tujuan kita ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2025 di Batu Danau hari ini.
Awang Tengah yang mewakili Premier Sarawak turut menggesa masyarakat Bisaya untuk mengambil dan merebut peluang yang ada dengan memajukan sektor pertanian dan penternakan berdasarkan kekuatan dan keunikan alam semulajadi di kawasan tersebut.
“Saya berharap mereka akan dapat menyusun atur bagaimana ia harus dilaksanakan. Saya percaya masyarakat di Limbang berpengalaman bagi memajukan ekonomi penternakan kerbau ini,” katanya.
Beliau menjelaskan lagi pesta itu sudah menjadi sebahagian daripada acara dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sarawak yang menarik minat para pencinta budaya tempatan dan juga para pelancong dari luar negara.
Pelbagai acara sinonim dengan kaum Bisaya diadakan pada pesta itu termasuk lumba kerbau, Ratu Babulang, Nakod Babulang, acara rakit, tarik tali dan acara kebudayaan lain yang mewarnai kemeriahan pesta itu saban tahun.
Pesta Babulang yang sarat dengan keunikan budaya dan adat resam kaum Bisaya mempunyai pengisian yang begitu signifikan dan pengertian mendalam yang memaparkan cara hidup kaum tersebut sejak turun temurun.
Malah, Pesta Babulang yang diraikan awal bulan Jun setiap tahun dianggap sebagai perayaan begitu penting dan bermakna kerana berjaya menghimpunkan kaum minoriti itu untuk menyaksikan sendiri keunikan pesta berkenaan.
Bagi masyarakat Bisaya sendiri, keistimewaan Babulang mampu mempromosikan budaya kaum tersebut di peringkat nasional dan antarabangsa.
Oleh Adeng Edrus