Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Peruntukan RM32.8 juta bagi pelaksanaan penyelenggaraan Lebuh Raya Pan Borneo
  • NASIONAL

Peruntukan RM32.8 juta bagi pelaksanaan penyelenggaraan Lebuh Raya Pan Borneo

Utusan Sarawak 10 months ago
MENTERI Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen, hari ini. FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM32.8 juta setahun akan diperuntukkan bagi pelaksanaan penyelenggaraan rutin di Lebuh Raya Pan Borneo secara berperingkat mengikut serahan selepas kontrak projek itu siap sepenuhnya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah kelulusan peruntukan ini telah mengambil kira kebolehlaksanaan tahun semasa bagi memastikan jalan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk digunakan.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) juga akan melantik Syarikat Konsesi melalui perjanjian penswastaan bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terdiri daripada kerja rutin, kerja berkala turapan, kerja berkala bukan turapan dan kerja kecemasan mengikut kelulusan dari semasa ke semasa.

“Di bawah skop kerja penyelenggaraan rutin, pihak konsesi yang dilantik perlu melakukan rondaan pemeriksaan rutin jalan Persekutuan dengan kekerapan dua kali seminggu. 

“Ini adalah untuk memastikan jika terdapat sebarang kerosakan jalan seperti jalan berlubang, kerja tampalan lubang hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 24 jam selaras dasar sifar lubang atau zero pothole KKR di Jalan Persekutuan seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) mengenai perancangan jangka masa panjang kementerian melibatkan urusan pengendalian lebuh raya, jenis penyelenggaraan jalan dan jumlah peruntukan untuk menyelenggara Lebuh Raya Pan Borneo setelah siap projek berkenaan.

Nanta berkata, penalti akan dikenakan terhadap syarikat konsesi sekiranya tindakan yang diambil melebihi dari tempoh ditetapkan.

Menjawab soalan tambahan Ali mengenai sama ada kementerian bercadang mengkaji isu penggunaan P-turn di Pan Borneo terutama di kawasan Saratok memandangkan banyak kes kemalangan berlaku, Nanta berkata kajian sedemikian telah dilaksanakan sebelum ini.

“Untuk makluman, pemilihan dan jarak setiap P-turn yang dibina di Lebuhraya Pan Borneo adalah berdasarkan kajian trafik yang telah dilaksanakan sebelum ini serta mengikut spesifikasi had laju selamat  berhampiran dengan kawasan berpenduduk tinggi,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: KPT setuju kekalkan Insentif Kecemerlangan SUKIPT 2024
Next: Kerjasama antarabangsa penting demi keadilan untuk mangsa tragedi MH17 – Schoof

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.