TERIMA KASIH… Datuk Amar Douglas Uggah Emas menyerahkan sijil penghargaan kepada petugas barisan hadapan penerima sijil penghargaan pada Majlis Malam Aspirasi Covid-19 Bersama Frontliner Wilayah Tengah, malam kelmarin.
SIBU: Kerajaan Sarawak telah memperuntukan RM300 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk kos operasi sepanjang tempoh memerangi Covid-19.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kos tersebut adalah termasuk pembukaan pusat kuarantin dan rawatan Covid (PKRC), penghantaran vaksin, ujian saringan Covid (Covid Test) dan sebagainya.
Menurutnya, kerajaan membiayai kos pengangkutan, makanan dan kuarantin hotel 14 hari kepada rakyat Sarawak yang tiba di negeri ini.
“Sebagai contoh, hendak menghantar vaksin ke Hulu Batang Rajang, kita memerlukan pengangkutan seperti perahu, helikopter.
“Dalam masa sama, di bawah PKRC kita ada Hospital Medan seperti di Sibu, Bintulu dan Miri. Ini adalah kosn yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak,” jelasnya sambil memberitahu bantuan makanan adalah di bawah Bantuan Khas Sarawaku Sayang (BKSS).
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita pada Majlis Malam Aspirasi Covid-19 Bersama Frontliner Wilayah Tengah, malam kelmarin.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban memberitahu, kerajaan Sarawak turut membiayai kos bagi menganalisa ujian calitan Covid-19 yang capasitinya ditingkatkan daripada 2,500 sehari kepada 6,000 sehari apabila kes mencatatkan peningkatan mendadak setiap hari.
“Pada September 2021, Sarawak mencatat sehingga 5,000 kes sehari. Kalau seorang positif kita perlu membuat pemeriksaan ke atas 10 orang kontek rapat, calitan ini kita bayar, ada yang kita hantar ke Kuala Lumpur dan ada juga dihantar ke pihak swasta di Sarawak,” ujarnya.
Atas sebab itu, katanya, JPBN Sarawak berterima kasih menerusi program tersebut (Malam Aspirasi Covid Wilayah Tengah) kerana tanpa semua usaha tersebut vaksinasi mereka akan ketinggalan.
“Bayangkan kawasan pedalaman seperti Ulu Baram, Ulu Batang Rajang sangat jauh, memandangkan kami (JBPN) mendapat sokongan penuh daripada kerajaan kerana keutamaan kami adalah untuk kehidupan yang selamat,” tegasnya.
Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, peruntukan itu tidak digunakan untuk membeli vaksin kerana dibekalkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Tumpuan utama Sarawak ketika itu ialah memberi vaksin secepat mungkin kepada semua rakyat tanpa mengira yang mana mereka berada, kalau tidak kita masih ketinggalan jauh di kawasan pedalaman dan pesisir, hanya melalui vaksinasi dapat menyekatkan penularan dan kematian,” tegasnya.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Dr Annuar Rapaee serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN