LAWAS: Peruntukan sebanyak RM250,000 disalurkan kepada Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS) bagi membina sebuah Pusat Lun Bawang di sini.
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong memaklumkan peruntukan yang disalurkan itu adalah fasa awal bagi PLBS mendirikan sebuah pusat supaya pelbagai aktiviti termasuk penganjuran Pesta Irau Aco Lun Bawang (Pesta Lun Bawang) yang diadakan pada setiap tahun.
“Kita bersyukur kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak ini tidak mengabaikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan dengan tidak putus menyalurkan projek untuk rakyat.
“Ini melibatkan pembinaan jalan di kawasan kampung, baik pulih gereja, kemudahan pusat ekonomi untuk pengusaha garam dan sebagainya di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan Sarawak dahulu,” ujarnya.
Henry Sum berkata sedemikian ketika ditemui pemberita pada perasmian Pesta Lun Bawang edisi ke-36 yang diadakan, semalam.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan berjumlah RM30,000 bagi membantu penganjuran pesta tersebut untuk tahun ini.
Henry Sum turut berkongsi semua projek pembangunan dan keperluan rakyat di Lawas termasuk Ba’kelalan mendapat perhatian sepenuhnya daripada kerajaan GPS.
“Kita ada jalan raya yang menghubungi Lawas ke Ba’kelalan dan projek hospital baharu yang sedang dalam pembinaan serta lapangan terbang baharu bersama pelabuhan laut dalam yang akan dilaksana melalui peruntukan kerajaan GPS dan kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional diikuti kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri dan kini Anwar Ibrahim.
Jadi segala usaha ini berterusan di bawah GPS untuk rakyat yang sememangnya memerlukan berbagai kemudahan asas ini.
Kita perlu tahu bahawa kerajaan kita di Sarawak bermula dengan usaha menentang komunis, penyatuan rakyat, politik pembangunan pada era 80an dan kini kita terus maju ke arah teknologi digital dan tenaga yang boleh diperbaharui,” ujarnya.
Oleh itu, beliau tidak mahu acara pesta seperti Irau Aco Lun Bawang dijadikan medan berpolitik untuk perkauman dan agama.
Sebaliknya acara pesta ini diraikan dengan usaha mempromosi perpaduan semua kaum, mempromosi budaya dan kehidupan masyarakat Lun Bawang bersama ethnik lain yang kita duduk bersama.
“Kita tidak boleh mengasingkan diri daripada kelompok majoriti kerana ini akan menjadikan kita jauh ketinggalan.
Taksub akan politik tidak akan membawa kita melangkah jauh. Kita perlu menerima hakikat bahawa rakyat Sarawak berdiri bersama rakan berbeza suku kaum yang menjadikan Sarawak unik serta maju bersama,” jelasnya.
Turut bersama beliau pada pertemuan dengan rakan media ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Sam Laya, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ahli Majlis Daerah Lawas Kaunselor Abu Bahrin Reduan dan Kaunselor Awangku Mohd Ariffin Dato Pengiran Jawa.
Oleh ADENG EDRUS