BAU: Kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi meringankan beban pekebun kecil untuk mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin memberitahu insentif tersebut merangkumi pembiayaan kos latihan, pengauditan, alat pelindung diri (PPE), papan tanda kebun dan rak penyimpanan bahan kimia kepada para Pekebun Kecil Persendirian (PKP) yang berdaftar dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Kerajaan sangat menitikberatkan pengukuhan industri sawit negara termasuk memperkasakan pembangunan PKP bagi meningkatkan hasil sawit dan pendapatan.
“Oleh itu, matlamat memajukan sektor huluan sawit ini dapat dicapai melalui penyertaan pihak industri dan PKP dalam melaksanakan Amalan Pertanian Baik (GAP) melalui Skim MSPO yang merupakan langkah strategik Kerajaan bagi meningkatkan daya saing dan memperluaskan pasaran minyak sawit Malaysia di luar negara selaras dengan desakan pasaran utama dan para pengguna dunia untuk dibekalkan minyak sawit yang mampan dan selamat untuk pemakanan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sempena Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Dewan Persatuan Masyarakat Kawasan Siniawan, Serembu di sini, semalam.
Tambah beliau, 98 peratus kawasan tanaman sawit di negeri ini telah dipersijilkan MSPO.
Jelasnya, ia termasuk 32 Kelompok Minyak sawit Mampan (SPOC) yang mana seramai 27,633 PKP dengan keluasan 158,522.34 hektar iaitu bersamaan 68 peratus daripada jumlah keluasan kebun yang diusahakan oleh PKP sebanyak 232,765 hektar telah memperoleh sijil MSPO.
Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan sumbangan kepada pekebun kecil sawit dan skim intensif integrasi ternakan dengan sawit bernilai RM15,000 setiap seorang kepada lima PKP.
Oleh RYNNA SHA’ERRA