
MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Budaya, Datuk Sebastian Ting menyalurkan peruntukan sebanyak RM200,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 bagi menaik taraf kemudahan Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) Miri.
Peruntukan itu bertujuan menambah baik persekitaran serta kemudahan sedia ada demi keselesaan ahli dalam menjalankan aktiviti dan perjumpaan.
Setiausaha politik beliau, Chai Kah Frung, bersama Bendahari Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Piasau, Pang Hok Seng, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Piasau serta pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri telah mengadakan lawatan tapak pagi tadi bagi meninjau keperluan projek.
Menurut Chai, hasil perbincangan bersama setiausaha persatuan, Abdul Aziz serta ahli jawatankuasanya, beberapa projek keutamaan telah dikenal pasti.
“Antara projek yang dicadangkan ialah menaik taraf dewan serbaguna, pembinaan pentas, penambahan laluan berbumbung serta pembinaan gelanggang badminton,” katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja naik taraf itu akan dilaksanakan dengan kerjasama JPKK Piasau Miri.
Menurutnya lagi, peruntukan berkenaan telah dipohon dan diluluskan melalui RTP 2026 oleh Datuk Sebatian bagi menyediakan ruang yang lebih selesa dan lengkap untuk kegunaan ahli.
Tambah beliau, premis persatuan termasuk dewan serbaguna bukan sahaja menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa, malah berpotensi menjadi platform penting bagi golongan OKU untuk berinteraksi, menimba ilmu serta membangunkan diri.
Oleh Connie Chieng