
SERIAN: Sebanyak RM185,000 peruntukan Projek Mesra Rakyat (MRP) disalurkan kepada 31 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta kelab rekreasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin.
Ahli Dewan Negara, Senator Susan Chemerai Anding, menyerahkan cek berkenaan dalam satu majlis ramah mesra dan jamuan tengah hari bersama penduduk Rumah Saloma Gayau Baru Pantu sempena persiapan sambutan Hari Malaysia, semalam.
Menurut beliau, dana tersebut bertujuan memperkukuh pentadbiran komuniti di samping menyokong pelbagai aktiviti sosial, kebudayaan dan pembangunan di peringkat akar umbi.
“Sebahagian daripada dana ini turut diagihkan kepada anak-anak sekolah di rumah panjang sebagai galakan supaya mereka terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa para Tuai Rumah, JKKK dan penduduk agar memanfaatkan sambutan Hari Malaysia sebagai platform mempereratkan perpaduan serta memupuk semangat ‘Segulai Sejalai’ yang menjadi tonggak keharmonian masyarakat majmuk Sarawak.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan komuniti bagi memastikan kesejahteraan dan kemajuan kawasan Balai Ringin terus terpelihara.
Oleh Tarani Lanting