BAU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM12 juta bagi program pengagihan komputer menerusi Projek Rakyat kepada pelajar sekolah rendah di seluruh negeri ini.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Micheal Manyin berkata, projek tersebut dijalankan bermula Mei hingga Disember depan melibatkan tiga siri kumpulan dengan kumpulan satu merangkumi 344 sekolah rendah.
Katanya, kebanyakan pengagihan komputer dalam siri kumpulan satu melibatkan sekolah-sekolah di luar bandar dan pedalaman seperti sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baram, Belaga, Kapit, Song dan Daro.
“Kita sekarang berada di siri kumpulan kedua melibatkan 515 sekolah rendah di kawasan pinggir bandar dan setakat ini, kumpulan satu telah berjaya mencapai 100 peratus penyelesaian program, manakala kumpulan kedua selesai 73 peratus pada penghujung Julai 2021,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Unit Komputer (Rasberry Pi) Kepada Sekolah-Sekolah Rendah di Kawasan Bau di sini, Selasa lalu.
Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu menambah, sebanyak 288 unit komputer Raspberry Pi bakal diagihkan kepada 40 sekolah rendah di bawah pentadbiran PPD Bau.
Katanya, pengagihan tersebut dijangka bermula pada minggu pertama bulan September selain satu unit turut diberikan kepada pejabat PPD Bau.
“Sejajar dengan agenda ekonomi digital negara, kerajaan negeri amat menyokong penguasaan kemahiran digital dalam kalangan generasi muda, seawal sekolah rendah.
“Pendedahan awal terhadap komputer dan teknologi maklumat membolehkan pelajar sekolah mahir menggunakan komputer selain terdedah kepada dunia digital bagi mengembangkan ilmu kemahiran mereka,” tambahnya.
Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak turut meluluskan peruntukan berjumlah RM6 juta untuk menyediakan Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) untuk guru bukan opsyen dalam bidang Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
Tambahnya, kira-kira 3,600 guru akan mendapat manfaat daripada latihan tersebut yang dilaksanakan dengan kerjasama Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).
“Disebabkan pandemik Covid-19, kursus akan dijalankan secara atas talian dan diharapkan dapat diselesaikan sebelum penghujung tahun ini,” katanya.
Hadir sama, ADUN Serumbu, Miro Simuh, ADUN Tasik Biru, Datuk Henry Jinep, Setiausaha Tetap Kementerian, Kameri Affandi dan Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Bau, Josephine Josy Nyogia.Â
Oleh SYAMIMI HUSNA