
SARIKEI: Usaha berterusan menaik taraf kemudahan masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang terus diperkasakan bagi memastikan keselesaan jemaah menjalankan ibadah.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata pelbagai penambahbaikan kemudahan telah dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk penyediaan penghawa dingin dan karpet baharu di semua masjid dalam kawasan tersebut.
“Alhamdulilah, kalau kita lihat dari segi penambahbaikan kemudahan kalau kita lihat di Masjid Darul Sa’adah ini, mulanya 2011 kita menggunakan lampu pelita. Kalau kita lihat dalam 15 tahun, banyak perkembangannya.

“Begitu juga dengan Masjid Al-Muttaqin, dimana ia telah dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada dua tahun yang lepas dengan jumlah kos untuk membaik pulih Masjid Al-Muttaqin ialah 9.5 juta.
“Begitu juga dengan masjid ataupun surau yang lain, kita telah menambah baik dari segi penghawa dingin dan karpet.
“Kesemua masjid dalam kawasan N41 Kuala Rajang telah dibekalkan dengan penghawa dingin dan karpet yang baharu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena program Jelajah Ramadan di Masjid Darul Sa’adah, Taman Susur Jambu, semalam.
Katanya, kemudahan tersebut dapat direalisasikan melalui peruntukan yang disediakan menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan N41 Kuala Rajang.
“Sebab itulah, kalau kita lihat dari segi peruntukan yang disediakan oleh kerajaan ataupun menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan program Tranformasi Luar Bandar (RTP) N41 Kuala Rajang.


“Inilah sumbangan kerajaan negeri untuk menaik taraf prasarana, bukan sahaja masjid, termasuklah gereja yang ada di kawasan ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, program Jelajah Ramadan yang dianjurkan setiap tahun bukan sahaja bertujuan mengimarahkan rumah ibadah, malah menjadi platform untuk mendekati masyarakat setempat.
“Lazimnya, setiap tahun saya mengadakan program Jelajah Ramadan di kawasan N41 Kuala Rajang yang mula di Masjid Darul Arqam di Belawai pada malam Jumaat yang lepas dan seterusnya kita ke masjid Kampung Jerijeh dan Kampung Rajang pada semalam.
“Sebelum itu juga kita mengadakan solat Jumaat di Bukit Kinyau dan juga di Masjid Al Firdaus di Tanjung Manis. Pada malam ini, kita adakan jelajah Ramadan di Masjid Darul Sa’adah, Taman Susur Jambu.
“Insya-Allah pada keesokan malamnya (hari ini) kita adakan jelajah Ramadan di Masjid Ar-Rahmah, Kampung Seberang Sarikei dan disusuli dengan yang terakhir untuk siri kali ini di Kampung Selalang,” katanya.
Len Talif turut menyifatkan sambutan penduduk terhadap program tersebut amat menggalakkan, khususnya dalam penyertaan solat tarawih di setiap lokasi yang dikunjungi.
“Kalau kita lihat dari segi sambutan penduduk sama ada di Kampung Rajang, Belawai, Jerijeh, Semalau, Bukit Kinyau dan di Masjid Al-Muttaqin, sambutan warga di sini amat baik sekali dari segi terlibat dalam solat Tarawih.
“Ini merupakan tahun yang ke-15 kita mengadakan ziarah Ramadan ini, bermula pada 2011,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek