DARO: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini meluluskan peruntukan berjumlah RM55.6 juta bagi pelaksanaan pembangunan di Pulau Bruit dekat sini agar penduduk di kawasan itu tidak lagi terpinggir daripada arus pembangunan.
Pembangunan itu merangkumi pembinaan skim perumahan mampu milik bernilai RM45 juta, pembinaan pusat pertanian dan medan selera bernilai RM5 juta serta kerja membaiki Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan Semop bernilai RM5.6 juta.
“Kita akan melaksanakan skim perumahan baharu seperti terdapat di Kampung Datu dan Kemuyang di Sibu. Saya telah meluluskan 56 lot yang setiap satu berkeluasan lebih kurang 12 point (kira-kira 486 meter persegi),” katanya ketika merasmikan Pesta Pulau Bruit 2024 di tapak Pusat Pertumbuhan Luar Bandar (RGC) Semop hari ini.
Beliau berkata rumah tiga bilik itu kelak akan dijual dengan harga RM150,000 seunit dan deposit pembelian sebanyak RM10,000 akan ditanggung kerajaan Sarawak.
“Kita akan bangunkan 56 buah dahulu dan kalau ramai yang membeli rumah kita akan tambah lagi untuk Pulau Bruit,” katanya.
Pusat pertanian dan medan selera pula akan dibangunkan tidak jauh dari Pusat Pertumbuhan Luar Bandar Semop.
Mengenai Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan Semop, Abang Johari berkata senarai mereka yang layak mendudukinya sudah ada namun kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan berikutan kerosakan pada rumah yang telah lama siap itu.
Beliau telah memberitahu Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Sarawak supaya kerja-kerja pembaikan itu dilakukan blok demi blok, satu blok dalam tempoh enam bulan sehingga kesemua 307 unit rumah kediaman siap dibaiki.
“Kita akan pakai peruntukan kita. Apabila siap satu blok kita akan terus masukkan penghuni sehingga semuanya selesai demi kepentingan orang ramai yang terlibat,” katanya.
Abang Johari berkata kemudahan tersebut perlu disediakan lebih awal berikutan pembinaan Jambatan Batang Paloh dan Muara Lassa yang dijangka siap tidak lama pagi, akan meningkatkan tumpuan ke Pulau Bruit.
“Penduduk dari Belawai dan Tanjung Manis yang ingin ke Mukah mesti melalui Pulau Bruit. Oleh itu, kita perlu bersedia dengan infrastruktur yang mencukupi di sini,” katanya.
Oleh TARANI LANTING