Peruntukan jalan luar bandar Sabah, Sarawak tidak pernah dibatalkan – Mustapha

Facebook
WhatsApp
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Khas Jawatankuasa Bencana Kota Kinabalu di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu hari ini. Foto Bernama

KOTA KINABALU, 28 Oktober: Dakwaan berhubung pembatalan atau pengurangan peruntukan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak oleh Kerajaan MADANI perlu diteliti berdasarkan fakta dan maklumat yang sahih, kata Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud.

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan supaya mana-mana pihak yang membangkitkan perkara berkenaan mengemukakan maklumat terperinci, termasuk senarai rasmi projek, nilai peruntukan serta status pelaksanaannya.

Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata arahan penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu bertarikh 10 September lepas ialah langkah kawalan kewangan dalaman bagi mengelakkan pertambahan komitmen kontrak, yang melebihi siling tahunan dan bukannya pembatalan projek pembangunan yang telah diluluskan.

“Faktanya, peruntukan asal JALB pada peringkat nasional terus meningkat daripada RM2.11 bilion bagi 2026 kepada RM2.27 bilion pada 2027, berbanding era sebelum ini yang tidak pernah mencecah RM1 bilion sebelum pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan peruntukan RM1.09 bilion pada 2023.

“Malah, Kementerian Kewangan telah meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta pada 2026 bagi membantu menangani tunggakan bayaran kontraktor JALB untuk memastikan komitmen projek sedia ada dapat ditunaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Khas Jawatankuasa Bencana Kota Kinabalu di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Mustapha berkata komitmen berterusan Persekutuan terhadap pembangunan wilayah Borneo dizahirkan menerusi Belanjawan 2027, yang memperuntukkan RM18.7 bilion kepada Sabah berbanding RM17.6 bilion sebelumnya, manakala peruntukan Sarawak ditingkatkan daripada RM15.1 bilion kepada RM16.2 bilion.

“Sementara itu, sejumlah RM3.3 bilion turut disediakan khusus bagi pelaksanaan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak merangkumi kesinambungan pembangunan jaringan jalan strategik,” katanya.

Pembangunan kemudahan asas di Sabah dan Sarawak kekal sebagai pelaburan jangka panjang keutamaan Kerajaan MADANI demi memperkukuh kesalinghubungan dan merapatkan jurang antara wilayah.- Bernama