SARIKEI: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian Sarawak telah menyediakan peruntukan yang cukup besar untuk melaksanakan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP).
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, program dilaksanakan atas dasar Kerajaan Sarawak untuk merapatkan lagi hubungan dan kerjasama antara Jabatan Pertanian dan golongan keluarga tani.
“Dalam program ini, peserta akan diberikan pendedahan secara langsung mengenai teknologi pertanian yang terkini sama ada melalui taklimat, pameran serta demonstrasi pertanian.
“Objektif Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian menganjurkan program seumpama ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran golongan sasar dalam sektor pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian AgriCOP di Dewan Serbaguna Kampung Seberang, pagi semalam.
Para peserta AgriCOP kali ini terdiri daripada keluarga tani di Sarikei dan mereka akan didedahkan dengan latihan memproses Sos Nanas Bercili daripada Seksyen Agromakanan Jabatan Pertanian Bahagian Sarikei.
Katanya, dengan ini para petani dapat meningkatkan pengeluaran dan kualiti hasil produk pertanian.
“Ini juga akan membawa kepada peningkatan pendapatan dan sosioekonomi golongan petani.
“Dengan kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Jabatan Pertanian Sarawak kerana telah banyak membantu rakyat khususnya golongan petani.
“Banyak program-program untuk rakyat telah dirancang dan disediakan oleh Jabatan Pertanian,” ujarnya.
Tambahnya, banyak program pertanian seperti Bantuan Tanaman Makanan, Tanaman Komoditi, Perikanan Darat dan Agromakanan telah membantu golongan petani.
“Kepada yang telah menerima bantuan dan akan menerima bantuan program tersebut, saya berharap para penerima projek usahakan dengan bersungguh-sungguh.
“Pastikan projek yang diberi diusahakan sehingga berjaya dan mendatangkan hasil,” katanya lagi.
Oleh EARL ANEK