
PETRA JAYA: Tiga stesen Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang menempatkan radar-radar stesen akan dibina dengan peruntukan RM200 juta di tiga lokasi strategik, iaitu Canada Hill, Miri, Bukit Nyabau, Bintulu dan Tanjung Datu, Lundu.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata keselamatan perairan Sarawak akan diperkasa menerusi beberapa projek pembangunan maritim, termasuk pembangunan SWASLA, penambahan aset kapal, serta pemanjangan jeti.
“Projek ini penting bagi memantapkan pengawasan laut bagi mengekang aktiviti-aktiviti yang tidak diingini khususnya dalam memastikan kedaulatan perairan,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Dalam usaha menambah baik infrastruktur maritim, jelasnya, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM79 juta bagi pemanjangan Jeti Muara Tebas sejauh 80 meter.
Ini termasuk pembinaan ‘jetty head’ sepanjang 100 meter bagi membolehkan kapal maritim baharu KM Tun Fatimah (kapal peronda baharu sepanjang 83 meter) untuk berlabuh dengan selamat.
“Kita telah menghantar aset-aset baharu ke Sarawak, termasuk KM Tun Fatimah.
“Bagaimanapun, disebabkan keadaaan jeti yang pendek dan perairan yang cetek, pemanjangan jeti perlu dilaksanakan bagi memastikan kapal ini dapat beroperasi dengan lebih berkesan,” jelasnya.
Selain itu, Mohd Rosli memberitahu, sebuah ‘Mothership’ (kapal induk), Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) sepanjang 99 meter yang akan berfungsi sebagai pusat operasi bergerak dengan keupayaan membawa empat bot laju untuk melakukan rondaan serta operasi menyelamat juga akan ditempatkan di Sarawak.
“Kapal ini akan menjadi aset penting dalam operasi penguatkuasaan di Sarawak, membolehkan pemantauan dijalankan dengan lebih efisien di kawasan perairan yang luas,” jelasnya.
Dalam konteks kawalan perairan, APMM menurutnya juga bekerjasama rapat dengan Sarawak Coastguard bagi memastikan rondaan dilakukan secara bersepadu dan berkesan.
“Langkah ini telah membuahkan hasil apabila statistik terkini menunjukkan pencerobohan bot nelayan asing dari Vietnam telah mencatatkan kadar sifar,” tambah beliau lagi.
APMM juga merancang untuk menambah keanggotaan di Sarawak, yang kini berjumlah 648 anggota, bagi memastikan semua aset baharu dapat dikendalikan dengan baik.
“Penambahan aset ini memerlukan lebih ramai anggota untuk mengoperasikan sistem pengawasan, kapal serta bot laju dengan cekap,” ujarnya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah APMM Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim, Pengarah Perisikan APMM Laksamana Pertama (M) Datuk Md Fauzi Othman, Pengarah Carilamat APMM Laksamana Pertama (M) Kamal Ariffin Jusoh dan Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama (M) Mohd Khairi Abd Aziz.