LAWAS: Perubahan laluan aliran sungai akibat faktor cuaca telah menjejaskan bekalan air di daerah ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kejadian hakisan tebing serta mendapan sungai berhampiran rumah pam Loji Rawatan Air Wilayah Trusan dikenal pasti sebagai punca utama gangguan bekalan air.
Sehubungan itu, beliau berkata Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak telah diarahkan mengambil tindakan segera dengan membetulkan aliran sungai serta mengorek dan memindahkan pasir serta tanah yang menghalang kemasukan air ke rumah pam.
“Masalah yang dihadapi sekarang berpunca daripada perubahan aliran sungai yang menyebabkan mendapan pasir dan tanah di kawasan rumah pam. Keadaan ini menjejaskan pengambilan air mentah.
“Kita telah memutuskan supaya langkah pertama yang diambil ialah mengorek pasir dan tanah mendapan serta membina benteng sementara bagi mengurangkan kesan terhadap pengambilan air mentah,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Wilayah Trusan, hari ini.
Mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang yang mewakili Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi; Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Pemangku Pengarah JBALB Sarawak, Ts. Tamida Da’adi; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa; Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi; serta kenamaan lain.
Awang Tengah turut menegaskan agar semua kerja pemulihan di kawasan terjejas disegerakan bagi memastikan masalah bekalan air di Lawas dapat diatasi secara berkesan dan untuk jangka panjang.
Sementara itu, JBALB memaklumkan beberapa langkah segera akan dilaksanakan, termasuk membina benteng penahan air di kawasan rumah pam serta menyediakan pontun sementara bagi membolehkan air sungai dipam ke loji rawatan air.





